Isu Pulau Batu Puteh, ini jawapan Tun M

Isu Pulau Batu Puteh, ini jawapan Tun M

 

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu program temubual bersama Institut Golkar dari Indonesia menjawab isu berkaitan Pulau Batu Puteh yang terletak begitu dekat dengan Johor, iaitu 14.3km dari Tanjung Penyusup berbanding 46km dari Singapura.

Bekas Perdana Menteri itu secara analoginya meembandingkan desakan yang mahukan Batu Puteh ketika ‘kehilangan’ Singapura dan Kepulauan Riau tidak dipedulikan.

“Saya menyampah dengan sesetengah orang mempersoal mengapa kita ada seketul batu yang sebesar meja terjojol di atas laut…

“Terlalu resah sangat hendak tuntut sedangkan dahulunya kawasan jajahan sendiri. Riau dan Singapura merupakan sebahagian dari Johor.

“Kamu tak peduli tanah sebesar ini diambil pergi tetapi sangat pedulikan tentang batu (Puteh) ini,” tempelaknya.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan kononnya beliau mendesak Malaysia menuntut semula Kepulauan Riau ekoran ucapannya dalam sebuah kongres minggu lalu.

“Saya tidak suruh tuntut tetapi kamu tidak langsung bantah semasa tanah ini diambil pergi oleh orang lain,” kata Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang kurang satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan bahawa hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, Malaysia memfailkan permohonan semakan supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan semakan tersebut difailkan mengikut penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting menunjukkan pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Batu Puteh di bawah Johor.

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau itu milik Johor.

Namun, Malaysia terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman, berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan beberapa hari sebelum kes dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.