Isu pajakan tanah: ‘Berbuih mulut’ tuduh macam-macam, kalau saya salah dakwalah, sindir Tun M

Isu pajakan tanah: ‘Berbuih mulut’ tuduh macam-macam, kalau saya salah dakwalah, sindir Tun M

 

TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir individu tertentu yang menurutnya ‘berbuih mulut’ menuduhnya dapat macam-macam daripada kerajaan selepas bersara sebagai Perdana Menteri.

Malah katanya, ada pihak mengeluarkan “bukti” berkenaan pajakan tanah miliknya di Langkawi sedangkan ia pajakan dengan bayaran, bukan hadiah atau diperoleh secara percuma serta mendapat diskaun.

“Agaknya orang ini cuba nak alih pandangan dari masalah dia “tolak” permintaan dia sendiri untuk dapat hartanah mewah dari Kerajaan. Ada orang beritahu saya mewah tahap kayangan.

“Saya akui saya pajak tanah. Pajak, bukan minta. Pajak kena bayar. Tak dapat free pun. Saya juga beli dua keping tanah di Langkawi selepas bersara.

“Tidak ada yang saya dapat percuma sebagai hadiah dari Kerajaan Persekutuan atau negeri. Sebaliknya kos sewaan dinaikkan berkali ganda sehingga saya serah balik kepada LADA, Langkawi.

“Bermacam usaha saya lakukan, ternak kerbau, buat keju, tanam sayuran. Ada yang berjaya, ada yang tidak. Yang tidak “economically viable” apabila sewa dinaikkan oleh LADA, saya kembalikan pajakan pada pihak berkuasa,” katanya hari ini.

Dr Mahathir menegaskan jika beliau ada terlibat dalam salah laku berhubung isu pajakan tanah tersebut, beliau sedia disiasat.

“Dah 18 tahun saya berhenti dari Kerajaan semasa jadi Perdana Menteri pertama kali. Selama itu, saya jadi Perdana Menteri semula 22 bulan. Apabila jadi PM kali kedua, pencen saya dihentikan. Pencen diberi balik selepas saya berhenti dari jadi PM kali kedua.

“Macam-macam tuduhan yang dibuat tentang “salah laku” saya. Kalau benar dakwa lah. Kalau bersalah hukumlah,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, semasa beliau membuka mulut mengenai 1MDB pelbagai usaha dibuat untuk menuduhnya kononnya membuat salah oleh kepimpinan kerajaan ketika itu.

“Bila gagal sampai tukang masak saya pun di lucut jawatan. Isteri saya pun turut disoal siasat. LHDN pula siasat anak-anak saya.

“Alhamdulillah, cukai semua dibayar ikut undang-undang dan tak timbul hutang cukai sampai berbilion. Jadi tak perlu minta pelepasan passport untuk ke luar negara.

“Saya ingat buat masa ini saya tak perlulah jelaskan apa-apa. Kalau pihak berkuasa terbabit nak jelas tentang pajakan-pajakan saya, silalah. Tidak ada apa-apa yang nak saya sembunyi pun,” katanya lagi.