Isu murtad: Aliff Syukri tampil beri nasihat, “Menyerahlah. Sebagai sahabat…”
Berikutan isu murtad Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, usahawan terkenal Datuk Aliff Syukri menegurnya untuk menghormati undang-undang dan agama Islam.
Memetik laporan Utusan Malaysia, sebagai seorang sahabat, usahawan berusia 34 tahun itu meminta Sajat tidak mempermainkan isu murtad sebaliknya jadilah seorang manusia yang sentiasa mahu berubah ke arah kebaikan.
“Kita sebagai seorang manusia, perlu menghormati undang-undang. Tak salah jika kita mengaku salah. Itu tidak bererti kita kalah. Kita rakyat Malaysia, ada undang-undang yang perlu kita patuhi.
“Sebagai sahabat, saya tak mahu Nur Sajat keluar daripada Islam atau murtad. Jangan tertekan dengan segelintir warganet. Menyerahlah. Ikut garis panduan dan undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, kecoh di serata laman sosial apabila satu video berdurasi 1 minit 45 saat tersebar memaparkan Sajat mengumumkan dia tidak mahu lagi menganut agama Islam dek kerana tertekan dengan situasi yang menghimpit dirinya.
Namun, klip video berkenaan tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Saya tidak mahu terlibat dalam urusan dia dan sebenarnya kami sudah lama tidak berhubung. Saya doakan yang terbaik untuk dia,” kata lagi.
Dalam pada itu, Aliff berkata, dia sudah lama tidak bertukar khabar dengan Nur Sajat dan mendoakan agar sahabatnya itu sentiasa cekal serta tabah menghadapi ujian Tuhan.
Sumber: Utusan Malaysia (Alif Fadli Mohd Sori)