Isu MITI : Tanda pagar #AzminLetakJawatan trending di laman Twitter

Isu MITI : Tanda pagar #AzminLetakJawatan trending di laman Twitter

KEMARAHAN netizen dengan tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam isu permohonan kebenaran beroperasi ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh, menyebabkan tanda pagar #AzminLetakJawatan menjadi ‘trending’ di laman Twitter.

Semakan di Twitter mendapati rata-rata pemilik akaun menggunakan tanda pagar tersebut untuk menggambar tanda tidak setuju dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri MITI, dan memintanya untuk meletakkan jawatan dengan segera.

Hampir semua ciapan yang menggunakan tanda pagar itu berpendapat Azmin gagal melaksanakan tugas untuk membantu kerajaan ketika sekatan pergerakan penuh untuk mengekang penularan Covid-19, dengan memberi kelonggaran ribuan syarikat untuk beroperasi.

“Letak jawatan jika tidak boleh buat kerja menteri. Kami sudah penat.”

“Hari ini kes kematian Covid-19 masih tinggi 126 kes. Azmin Ali dah bagi kelulusan pada 95,142 syarikat untuk beroperasi waktu lock down. Tunggu kes kematian jadi seperti Tsunami melanda beberapa minggu lagi.”

“Hari ini mak aku swab test kali kelima sebab kilang dia ada meninggal kerana Covid-19. Sekali lagi, Azmin Ali kamu menang. Kamu dapat duit, tengok semua rakyat susah sedang kamu sedang ketawa dalam rasuah.”

Tinjauan Malaysiapost di laman sesawang change.org mendapati petisyen berkenaan berjaya memperoleh sebanyak 92,670 tandatangan setakat jam 8.30 pagi tadi.

Lebih mengejutkan apabila petisyen tersebut mencapai tanda tangan hampir 100,000 walaupun pada mulanya hanya menyasarkan mencapai sejumlah 50,000 sokongan orang ramai bagi mendesak Mohamed Azmin berundur dengan meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet.

Azmin menerusi kenyataan semalam berkata 128,150 syarikat yang melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh negara yang berdaftar dengan Intelligent Management System (CIMS) telah diberikan surat kebenaran operasi.

Beliau berkata, setakat 7.30 pagi semalam jumlah itu adalah berdasarkan keseluruhan permohonan 586,308 syarikat dengan 10.2 juta pekerja yang berdaftar dengan CIMS.

Sehingga semalam, keliruan yang disebabkan perubahan arahan daripada pihak MITI mencetuskan ‘kelam kabut’ orang ramai, termasuk pihak peniaga dan penjaja kecil.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah ketika dihubungi semalam melahirkan rasa kesal dengan kerenah birokrasi sehinggakan peniaga kecil-kecilan juga perlu mengemukakan surat kebenaran daripada MITI.

Mohamad berpendapat, MITI tidak boleh menjaga keseluruhan sektor ekonomi kerana setiap sektor mempunyai kementeriannya sendiri.

Semalam, media tempatan melaporkan situasi di Putrajaya dikatakan berlaku ketegangan antara Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon dengan Azmin dalam mesyuarat sebelum ini.

Ianya tercetus apabila hantaran yang dibuat Ismail Sabri di laman Facebooknya tempoh hari mengundang perhatian dan ada yang melihat sebagai sindiran berkaitan kebenaran operasi kilang ketika sekatan pergerakan penuh pada masa ini.

Sumber: Malaysiapost