Isu LCS yang tertangguh dibawa ke mesyuarat Kabinet

Isu LCS yang tertangguh dibawa ke mesyuarat Kabinet

Kementerian Pertahanan akan membawa isu pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang tertangguh sejak lebih setahun ke mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan keputusan terbaik.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dua opsyen akan dicadangkan berkaitan hala tuju projek berkenaan untuk perbekalan aset kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Ada opsyen yang kita cadangkan yang pertama Boustead (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) meneruskan projek ini dengan beberapa cadangan hala tuju baru yang akan dikemukakan kepada Kabinet nanti.

“Ataupun kalau kabinet tidak bersetuju kita mungkin membatalkan (kontrak) dan melantik syarikat baru,” katanya selepas menyaksikan demonstrasi dan majlis simbolik penyerahan Fast Interceptor Craf (FIC) di Jeti Peluru Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya masih lagi dengan opsyen pertama iaitu supaya BNSSB dibenarkan untuk meneruskan projek berkenaan dengan cadangan hala tuju baharu.

“Perkara ini mungkin (dibawa ke mesyuarat kabinet) minggu depan atau minggu sekali lagi. Dengan keputusan Kabinet nanti saya percaya projek berkenaan akan diteruskan dan isu berkaitan pekerja yang kehilangan pekerjaan dan sebagainya dapat diselesaikan,” katanya.

Sabtu lalu media melaporkan, kerajaan diminta meneruskan segera pembinaan berkenaan yang tertangguh sejak lebih setahun sehingga menjejaskan 400 vendor dan 10,000 pekerja yang terbabit dalam rantaian projek itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata, penangguhan itu menyebabkan banyak vendor yang gulung tikar sehingga ramai yang hilang kerja. – BH