Isu J&T Mogok: Menteri Sumber Manusia enggan ulas, akan beri kata putus

Isu J&T Mogok: Menteri Sumber Manusia enggan ulas, akan beri kata putus

Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) sedang menyiasat insiden yang tular membabitkan pekerja syarikat penghantaran barangan yang didakwa mogok.

Susulan itu, sumber dari Kementerian Sumber Manusia (KSM), berkata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tidak akan memberi sebarang ulasan.

“Setakat ini JPPM iaitu jabatan di bawah KSM sedang melakukan siasatan berhubung perkara ini.

“Dalam masa terdekat ini, menteri akan beri kata putus berhubung perkara terbabit,” katanya kepada BH.

Sejak semalam, satu video di aplikasi Tiktok tular memaparkan sekumpulan pekerja sebuah syarikat kurier, dikatakan mogok di sebuah gudang barangan yang tidak diketahui lokasinya.

Difahamkan, tindakan mogok itu dilakukan mereka disebabkan masalah gaji. Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan seorang pekerja membaling barangan pelanggan. Turut kedengaran beberapa pekerja berteriak menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pengurusan syarikat.

Sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan syarikat kurier terbabit.

Sementara itu, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula memaklumkan, syarikat kurier berkenaan dilesenkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). – BH