Isu gangguan kutipan sampah, Majlis Bandaraya Ipoh mohon maaf

Isu gangguan kutipan sampah, Majlis Bandaraya Ipoh mohon maaf

 

Isu gangguan kutipan sampah di sekitar bandar raya Ipoh ada hubung kait dengan syarikat konsesi yang berdepan masalah kekurangan pekerja, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurut beliau, ramai antara pekerja pembersihan terbabit berhenti dan memilih bekerja dalam industri pembinaan.

Sehubungan itu, Rumaizi berkata, pihaknya menyedri dan memahami ketidakselesaan yang terpaksa dihadapi oleh penduduk yang terkesan selain mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu berkenaan.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedia maklum berhubung gangguan kutipan sampah khususnya di kawasan Manjoi, Meru, Puncak Jelapang dan Klebang.

“Pihak kontraktor Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (MUMSB) menghadapi kekangan pekerja sejak April lalu.

“MUMSB kini sedang berusaha untuk mencari pekerja kutipan sampah gantian dengan gaji harian setinggi RM80 sehari tetapi masih tiada yang mahu menerima tawaran tersebut kerana industri pembinaan menawarkan kadar harga gaji harian yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Rumaizi berkata, peningkatan sampah yang tidak dijangka iaitu tiga kali ganda daripada keadaan biasa susulan Hari Raya Aidilfitri turut menyumbang kepada masalah tersebut.

“Cuti raya yang sangat panjang menyebabkan ramai yang pulang ke Ipoh di samping penganjuran kenduri serta rumah terbuka sekali gus menyebabkan gangguan kutipan sampah di kawasan di kawasan Manjoi, Meru, Puncak Jelapang dan Klebang,” katanya lagi.

Rumaizi menambah, antara tindakan segera yang diambil seperti melantik kontraktor sementara kutipan sampah bagi membantu MUMSB serta melantik pekerja tambahan.

“Anggota pembersihan MBI membantu kerja-kerja kutipan sampah selain membeli empat lori kutipan sampah baharu yang dijangka tiba pada bulan Jun,” katanya.

Katanya, pemulihan gangguan kutipan sampah telah beransur pulih dan menjangka 90 peratus operasi kutipan sampah di kawasan Manjoi, Meru, Puncak Jelapang dan Klebang.

“MBI memohon maaf atas ketidakselesaan yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat kesan daripada kelewatan kutipan sampah ini,” ujarnya.