Istiadat Negeri Perak ditunda, dari 147 penerima PAT mendahului senarai

Istiadat Negeri Perak ditunda, dari 147 penerima PAT mendahului senarai

Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-64 esok, tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang bekerja keras mengekang penularan wabak Covid-19.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin berkata, jumlah penerima juga adalah terhad dan hanya mereka yang layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan, telah mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini.

“Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri  Perak pada tahun ini tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga, berjuang menentang dan mengekang penularan wabak Covid-19, terutamanya di negeri Perak.

“Pengurniaan ini diharapkan dapat menyuntik dan menaikkan semangat serta moral pasukan barisan hadapan secara keseluruhannya, untuk terus berjuang demi untuk memastikan keselamatan rakyat negeri Perak dari jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Nazrin, di Laman Seri Ridzuan di sini, semalam.

Mohd. Zahidi berkata, seramai 147 penerima telah diperkenan oleh Sultan Nazrin untuk dianugerahkan darjah kebenaran dan pingat negeri.

Mendahului senarai penerima ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang menerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS)  yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

Manakala, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 11 orang penerima terpilih menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Naib Canselor Universiti Sutan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Datuk Dr. Nordin Kardi; Ketua Perkhidmatan O&G Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr. Aruku Naidu Apana; Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Dr. Faridah Abu Bakar dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Adzman Talib.

Turut menerima Darjah DPMP ialah Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Ishak Abdul Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Bahari Belaton; Ketua Pegawai Eksekutif International  Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali; Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz;

Turut menerima darjah itu ialah Ketua Pengarah Pusat Serantau bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Chuah Teong Ban; Pakar Bedah Orthopaedik dan Tulang Belakang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Kwan Mun Keong dan Presiden Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (MAKNA), Dr. Saunthari Somasundaram.

Seramai lima individu dikurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Pengarah Jabatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid; Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Turut menerima darjah itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera, Brig Jen Ir. Anhar Anuar; Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Mohd Ruzelme Ahmad Fahimy dan Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Brig Jen Dr. Nor Azam Jais.

Dalam pada itu, Mohd Zahidi memaklumkan, istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat itu hanya akan diadakan pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian, bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Beliau juga menyeru rakyat Perak untuk meraikan sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.

Sumber: Suara Perak