Isteri Nazri Aziz bakal lepaskan Resort Villa Danialla

Isteri Nazri Aziz bakal lepaskan Resort Villa Danialla

 

Villa Danialla Beach Resort di Kandis, Jalan Tok Bali di sini bakal dilepaskan kepada pembeli berpotensi yang mampu meneruskan legasi pusat pelancongan berkenaan dengan lebih baik dan mampan.

Villa yang sudah beroperasi sejak 15 tahun lalu itu bukan sahaja menarik pengunjung dalam negara, malah turut menarik pelancong luar termasuk Eropah.

Pengarah Urusan Villa Danialla Beach Resort, Datin Seri Haflin Nazri Aziz, 39, berkata, hatinya berat untuk melepaskan villa berkenaan yang diasaskan oleh Allahyarham ibunya, Datuk Siti Hamidah Hamat.

Keputusan berkenaan bagaimanapun katanya, terpaksa diambil dek beberapa kekangan, termasuk ketiadaan masa mencukupi untuk menguruskan operasi rumah peranginan itu.

“Kerana itu saya mahu mencari pembeli yang berpengalaman luas dalam menguruskan resort kerana tidak mahu ia terhapus begitu sahaja.

“Saya mahu melihat Villa Danialla terus beroperasi walaupun ketika saya bukan lagi pemiliknya,” katanya sayu, ketika ditemui Getaran di sini.

Villa Danialla Beach Resort

Masakan tidak sayu, mustahil tidak sedih melepaskan Villa Danialla pergi kerana di situ tertumpah jerih perih dan susah payah arwah ibunya, membangunkan resort tersebut dari bawah hingga termasyhur di seluruh negara.

“Villa ini dibina di atas tanah berkeluasan 3.4 hektar dengan 79 bilik, dua dewan dan satu kolam mandi bersaiz olimpik, dengan nilai RM24 juta.

“Kedudukan villa ini amat strategik dan sudah dikenali ramai kerana lokasinya berada di tepi pantai yang tersohor di Kelantan. Justeru, saya ingin mencari pembeli yang benar-benar berpengalaman dan mempunyai visi untuk terus memajukan villa ini sekali gus meneruskan legasi perniagaan,” katanya.

Haflin Nazri Aziz

Menurut Haflin, Villa Danialla bukan sekadar resort, sebaliknya momento buat beliau dan adik-beradik kerana ia dibina sepenuhnya menggunakan wang gaji Allahyarham Siti Hamidah ketika berkhidmat dalam sektor korporat.

“Saya melihat kegigihan ibu membangunkan villa ini 15 tahun yang lalu tanpa membuat sebarang pinjaman, malah sanggup berhenti kerja di Kuala Lumpur demi memberi sepenuh perhatian kepada Villa Danialla.

“Ibu bukan sekadar mengendalikan operasi, malah semua pokok besar di pintu masuk ini juga ditanam oleh kami berdua bagi mengindahkan lagi kawasan ini,” katanya, sebak mengimbas kenangan manis bersama wanita berhati waja itu.

Villa Danialla Beach Resort

Haflin menarik perhatian, bermula dengan hanya 20 bilik, Villa Danialla pernah disewa rakyat Russia yang bertugas di Gong Kedak, Terengganu sebelum biliknya ditambah kepada 79 buah.

“Usaha gigih ibu tanpa henti menjadikan Villa Danialla sangat terkenal, ditambah dengan kedudukannya di tepi Pantai Tok Bali, sememangnya menawarkan keindahan tersendiri.

“Bukan mudah saya mahu melepaskan semua ini pergi, kerana itu saya benar-benar berhati-hati dalam mencari pembeli. Bimbang jika legasi ibu ini terhenti atau terhapus jika penjualan dibuat secara semberono,” katanya.