Isteri dedah Safee Sali tergamak lafaz cerai guna ‘voice note’, diam-diam nikah lagi di Siam

Isteri dedah Safee Sali tergamak lafaz cerai guna ‘voice note’, diam-diam nikah lagi di Siam

 

Isteri dakwa Safee Sali hantar voice note lafaz cerai pada 11 Februari 2024 selepas diketahui telah bernikah secara senyap-senyap di Siam pada akhir Januari lalu.

Memetik laporan dari Kosmo! Fitria Elfina Maharip , 44,  memaklumkan yang dirinya mengalami penderaan mental sejak setahun lalu sebelum Safee menfailkan nusyuz terhadapnya dengan alasan meninggalkan dua anaknya dan pulang ke Batam, Indonesia.

“Saya tidak tinggalkan anak sebaliknya titipkan (meletakkan) di rumah anak buah saya. Ini susulan kedua-dua pasport mereka dipegang Safee.

“Dia (Safee) juga tidak halang saya untuk pulang (Batam). Saya balik ke Batam sebab mahu mengadu dan meminta ‘perlindungan’ daripada abang.

“Sudah setahun saya bertahan dan didera mental berhari-hari sebelum mengetahui Safee sudah berkahwin baharu secara sembunyi di Siam pada 26 Januari lalu,” katanya.

Dia yang ditemui di lobi Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor memaklumkan yang rumah tangga mereka mulai bergolak apabila Safee tidak membenarkannya membuat panggilan video sekitar Mac tahun lalu sebelum mengakui ingin bernikah dengan seorang wanita lain yang dikatakan banyak membantunya dalam karier setelah persaraan.

“Saya ke Batam pada 7 Februari sambil menunggu kedatangannya disebabkan dia mahu berjumpa abang saya. Benda ini (pulang ke Batam) tidak boleh diclaim nusyuz sebab dia tahu saya balik rumah abang.

“Sebelum dia datang, dia lafaz cerai melalui voice note (pesanan suara) kepada saya pada 11 Februari lalu. Sekarang ini, saya pula dihalau dari rumah sewa di Puncak Alam disebabkan Safee Sali hanya membayar sehingga bulan ini sahaja,” katanya.

Fitria Elfina juga merasakan tindakan bekas pemain kebangsaan itu seperti langsung tidak menghargai pengorbanannya yang sudah menemani individu berkenaan selama 11 tahun.

“Kalau dia buat saya begini, macam sampah selepas 11 tahun mengabdi kepadanya dengan tidak boleh bekerja dan jaga anak sahaja. Apa yang awak rasa. Ketika ini, nafkah zahir juga tidak diberikan olehnya.

“Kini, saya amat bimbang apabila dua anak saya iaitu Shanika Salsabilah,9, dan Shania Safina, 7, tidak lagi bersekolah serta tidak tahu keberadaannya. Hanya surat anak yang dijumpai dalam kereta Safee jadi pengubat rindu,” katanya.

Terdahulu, Fitria Elfina mendedahkan sudah lebih sebulan tidak berjumpa dua anak mereka selepas diambil Safee ketika ketiadaannya di rumah sebelum memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Difahamkan, Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar menetapkan 26 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes tuntutan nusyuz serta pendengaran kes lafaz cerai.

Untuk rekod, Safee Sali dan Fitria Elfina telah berkahwin pada 21 Disember 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan.

Sebelum ini, bekas pemain pasukan KL City itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Sabarina Yusof pada 2007 , namun berpisah pada 2012. Mereka juga mempunyai dua orang cahaya mata hasil perkahwinan berkenaan.