Isteri berjaya pujuk suami bermadu, pinang kawan baik sendiri jadi bini kedua

Isteri berjaya pujuk suami bermadu, pinang kawan baik sendiri jadi bini kedua

 

Siapa sangka, seorang wanita mempunyai hasrat untuk bermadu selepas 12 tahun melayari bahtera rumah tangga dengan penuh kebahagiaan.

Bukan sahaja ikhlas berkongsi kasih, wanita berkenaan turut meminang sahabatnya sendiri dan menghadiri majlis pernikahan suami tersayang bersama isteri keduanya.

Mengundang perbincangan hangat, kejadian yang berlaku di Melaka itu diceritakan sendiri oleh pengantin lelaki bertuah dikenali sebagai Mohd Loqman Mohd Salleh.

Loqman yang bekerja sebagai mutawif itu mendedahkan bahawa isteri kedua adalah sahabat kepada isteri pertama dan mereka sebenarnya sudah lama berkawan baik.

Menurutnya, meskipun perancangan hidup bermadu adalah saranan isteri pertama, namun hasrat untuk berpoligami perlu mendapatkan keizinan daripadanya dahulu.

Hasrat murni isterinya itu akhirnya terkabul selepas Loqman sekali lagi sah bergelar suami dalam majlis pernikahan di sebuah masjid di Melaka pada 24 Disember lalu.

Kongsi Loqman, acara akad nikah berkenaan turut dihadiri oleh isteri pertama yang memakai jubah berwarna putih sedondon dengan isteri kedua, lapor Sinar Harian.

“Pernikahan ini bukan kerana saya sahaja. Namun bagi meraikan juga isteri pertama menyambut kehadiran madu dengan memberi laluan buat madu berkongsi kebahagiaan bersama.

“Nasihat saya kepada lelaki yang ingin berpoligami, bercakap benar dan insya-ALLAH akan kekal hingga ke Jannah,” kata lelaki berusia 38 tahun itu memetik laporan Sinar Harian.

Bapa tiga anak dari Kampung Kolam Limbongan itu akui, perkahwinan dengan isteri pertama dilewati dengan bahagia bersama zuriat berusia 11 hingga empat tahun.

Loqman bagaimanapun tidak mendedahkan sebab sebenar isterinya terbuka hati untuk bermadu dengan sahabat baiknya meski memiliki perkahwinan yang bahagia.

Ulas pengantin baharu yang juga perawat Islam itu, dirinya menerima banyak ucapan tahniah setelah berkongsi beberapa keping gambar perkahwinan bersama kedua-dua isteri di akaun Facebook miliknya.