Isteri ada masalah faraj terkunci, suami ugut cerai jika dua bulan tak sembuh

Isteri ada masalah faraj terkunci, suami ugut cerai jika dua bulan tak sembuh

 

PENDEDAHAN seorang doktor mengenai pesakitnya yang tidak mendapat sokongan suami dalam hubungan seks ternyata membuka mata orang ramai mengenai masalah vaginismus atau faraj terkunci.

Menurut Dr Kash Musfata, 33, wanita itu bukan sahaja terpaksa memandu sendirian dari Melaka ke Kelantan demi mendapatkan rawatan, malah turut diugut dengan penceraian.

“Saya terpaksa beranikan diri datang seorang diri. Suami saya langsung tak nak tahu keadaan saya. Suami dah beri tempoh dua bulan untuk sembuh.

 

“Kalau saya tak sembuh dalam masa dua bulan, dia nekad nak lepaskan saya. Saya harap sangat doktor dapat bantu,” ujar wanita itu ketika mendapatkan rawatan pada tahun lalu.

Ketika dihubungi mStar, Dr Kash berkata masalah tersebut bukanlah satu perkara yang asing namun ia jarang mendapat pendedahan kerana pesakit sendiri malu untuk tampil mendapatkan rawatan.

“Tiada statistik yang tepat sebab pesakit sendiri segan nak ke depan untuk mendapatkan rawatan. Kebanyakan pesakit yang jumpa saya, mereka dah jumpa bomoh dulu.

“Mereka ingat faraj terkunci ada kaitan dengan mistik. Itu yang mereka fikirkan dulu kerana tiada pendedahan yang betul mengenai vaginismus.

“Kebanyakan mereka yang dengar mengenai penyakit ini, mereka anggap ia perkara yang lucu. Contohnya mereka tanya kalau faraj terkunci, di mana kuncinya? Mereka juga anggap ia benda yang memalukan.

“Apabila ada tanggapan begini, pesakit tu lagi rasa malu untuk tampil dapatkan rawatan sehingga berlaku isu-isu rumah tangga seperti kesukaran mendapatkan zuriat,” ujarnya lagi.

Menurut Dr Kash, ada dalam kalangan pesakit yang terpaksa berhenti kerja kerana terganggu dengan masalah vaginismus, malah lebih teruk ada yang bercerai sehingga dua kali.

Selain menghadapi masalah ketika bersama dengan suami, vaginismus turut berkait dengan psikologi wanita sehingga menyebabkan rutin harian mereka terganggu.

“Ada beberapa simptom. Pertamanya dari segi psikologi. Mereka ada anxiety, jenis banyak berfikir dan overthinking. Mereka juga takut dan pemalu.

“Bila kita buat pemeriksaan, mereka berhadapan masalah persetubuhan dengan suami. Mereka tolak suami ketika nak bersama, kepit paha, jadi menangis, lepas tu lebih teruk boleh jadi histeria bila nak bersama.

“Ia mengganggu rutin kehidupan sampai ada pesakit yang berhenti kerja sebab masalah ini. Bila diperiksa, rupa-rupanya otot di sekeliling dia mengeras macam tulang. Itu antara simptom yang terdapat pada pesakit,” ujarnya.

Dalam temubual sama, Dr Kash turut menitipkan pesan kepada golongan suami agar sentiasa memberikan sokongan buat isteri mereka dalam menghadapi situasi ini.

“Untuk masalah vaginismus, ada suami yang memberikan sokongan kepada isteri namun ada juga yang tidak beri sokongan. Ada yang teruk sehingga isteri terpaksa datang sendiri. Ada juga kes yang saya jumpa, wanita itu sampai dah kahwin dua kali dan masih bercerai.

faraj3

“Saya yang dengar pun sedih. Saya tertanya-tanya, suami tu kahwin atas sebab apa sebenarnya? Suami kena ada empati kepada isteri. Kena sokong dari segi emosi dan kewangan, jangan bersikap judgemental sebaliknya cari solusi bersama.

“Dan kalau kita tengok statistik cerai dalam Malaysia, saya tertanya-tanya apakah sebabnya? Mungkin vaginismus sebabnya. Mungkin mereka tak beritahu, mungkin mereka tak tahu.

“Jadi orang fikir mereka bercerai sebab tak serasi atau tak beri nafkah. Boleh jadi vaginismus yang menjadi punca penceraian,” ujarnya yang berkhidmat di sebuah klinik swasta di Kota Bharu.

faraj1

Dalam pada itu, Dr Kash turut gembira apabila video yang mengutarakan topik faraj terkunci meraih lebih dua juta tontonan di akaun TikTok miliknya.

“Selepas viral, ramai yang mesej saya untuk dapatkan rawatan. Saya ikhlas berkongsi ilmu dan bersyukur sangat mesej serta kesedaran sampai kepada orang ramai.

“Saya buat video untuk sampaikan kesedaran mengenai vaginismus, supaya lebih ramai pesakit akan tampil mendapatkan rawatan,” ujarnya lagi.