Ismail Sabri tegaskan tidak kemas kini MySejahtera bukan kesalahan

Ismail Sabri tegaskan tidak kemas kini MySejahtera bukan kesalahan

Tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera bukan menjadi kesalahan seperti yang disalah anggap sesetengah pihak, tegas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – COVID Malaysia, tidak menyatakan ia sebagai satu kesalahan yang boleh dikompaun oleh penguat kuasa.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, beliau berharap dan menyarankan pihak berkuasa untuk membatalkan mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas ‘kesalahan’ terbabit.

“Sejak beberapa hari ini timbul kekeliruan berhubung beberapa perkara termasuklah salah faham penggunaan aplikasi MySejahtera dengan terdapatnya anggota penguat kuasa yang mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal melakukan kemas kini MySejahtera.

“Saya ingin maklumkan bahawa tidak mengemas kini aplikasi MySejahtera tidak menjadi kesalahan. Ini adalah berdasarkan kepada Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – COVID Malaysia yang mana ia tidak terkandung sebagai satu kesalahan untuk dikenakan kompaun oleh mana-mana penguat kuasa.

“Saya berharap dan menyarankan agar mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas kesalahan terbabit perlulah dibatalkan. Pegawai penguat kuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung SOP yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Sabtu, media melaporkan 29 pekerja syarikat minyak dan gas di Sitiawan, Perak telah dikompaun RM2,000 setiap seorang, manakala dua pekerja kilang proses ayam (RM1,500) atas dakwaan tidak mengemas kini status kesihatan di aplikasi MySejahtera ketika masuk ke tempat kerja.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid bagaimanapun memberitahu, kompaun yang dikenakan terhadap pekerja terbabit akan dibatalkan.

Jelas beliau, hasil semakan yang dilakukan Polis Daerah Manjung kepada Unit Inspektorat Dan Perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, telah berlaku kekeliruan terhadap kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta penguat kuasa tidak membuat tafsiran yang salah berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Hal ini juga termasuklah dengan kesalahan yang melanggar SOP melibatkan syarikat atau kilang yang beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.

“Jika ia berlaku, maka tindakan penguatkuasaan perlulah dibuat kepada majikan atau syarikat yang memaksa pekerja melakukan tugas lebih dari masa yang ditetapkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau memohon rakyat Malaysia untuk sama-sama berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi MySejahtera.

Sumber: Astro Awani