ISETAN KLCC dipuji letak jualan rokok di bahagian ‘Non-Halal’
ISETAN KLCC menjadi bualan hangat di media sosial hari ini apabila dikatakan telah mengasingkan tempat jualan rokok ke bahagian tidak halal di pusat beli mewah itu.
Menerusi perkongsian di Facebook, tular sebuah gambar yang memperlihatkan penjualan barangan terlarang iaitu rokok diletakkan pada bahagian non-halal liquor bersama dengan minuman alkohol.
Sejak penularannya, para netizen yang merangkumi daripada pelbagai kaum dilihat menyambut baik usaha baik pihak ISETAN yang meletakkan rokok di bahagian non-halal.
Bagi mereka, dengan tindakan ini sedikit sebanyak bakal terdetik kesedaran buat individu untuk berubah dan tidak membelinya.
Dalam pada itu, majoritinya meminta agar pusat beli belah atau pasaraya untuk mengimplemen perkara yang sama kerana dilihat boleh membendung para penghisap rokok dari terus membuat pembelian.
Selain rokok, netizen turut mahu melihat rokok elektronik diberi layanan serupa kerana kedua-duanya memberikan masalah kesihatan kronik yang sama.