Iriana mohon maaf andai Jokowi lakukan kesilapan ketika pimpin Indonesia

Iriana mohon maaf andai Jokowi lakukan kesilapan ketika pimpin Indonesia

 

Isteri Joko Widodo, Iriana Jokowi memohon maaf jika terdapat sebarang kesalahan sepanjang tempoh perkhidmatan suaminya sebagai Presiden Indonesia.

Dalam satu majlis yang diadakan di Velodrom Antarabangsa Jakarta Timur, Iriana mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong mereka selama ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dan doa selama ini. Kami akan sentiasa menghargai kenangan dan pengalaman yang dilalui bersama,” kata Iriana.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh beberapa menteri Kabinet, pegawai tinggi kerajaan dan orang ramai sebagai sambutan terakhir meraikan ‘Ibu Negara’ mereka.

Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi akan mengakhiri tempoh perkhidmatannya pada 20 Oktober ini selepas dua penggal memimpin republik itu.

Beliau akan digantikan oleh Prabowo Subianto yang memenangi Pilihan Raya Presiden 2024.

Iriana juga mengambil kesempatan buat kali kedua untuk memohon maaf pada majlis itu dengan berkata: “Kami memohon maaf jika terdapat sebarang kesilapan atau ada dalam kalian yang rasa kurang selesa sepanjang tempoh ini. Kami berharap agar Indonesia terus maju dan berjaya di masa hadapan”.