Instafamous kantoi curi barang di pasar raya, dipenjara sehari & denda RM400

Instafamous kantoi curi barang di pasar raya, dipenjara sehari & denda RM400

 

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM400 terhadap seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial atas kesalahan mencuri barangan bernilai lebih RM100 di sebuah pasar raya.

Tertuduh, Rumaisyah Yahya, 31, mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan, mahkamah memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga hari.

Berdasarkan pertuduhan, Rumaisyah didakwa mencuri barangan pewangi bilik, buih mandian, ubat gigi, minuman, sayur brokoli dan penyangkut baju di mana keseluruhan barangan ini bernilai RM108.18 yang kemudian dimasukkan ke dalam beg.

Tertuduh terus keluar dari pasar raya berkenaan tanpa membuat sebarang pembayaran sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan. Pemeriksaan dalam beg mendapati, tertuduh mencuri barangan milik pasar raya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di pusat beli belah di Jalan Ampang kira-kira jam 4.30 petang Rabu, 1 November 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Sheryn Yong Shi Yee sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam kepada tertuduh, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab, memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk penjara dan denda minimum kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selain kesalahan itu merupakan kesalahan pertama, tertuduh perlu menyara ibunya yang berusia 65 tahun yang juga menghidap penyakit darah tinggi.

“…barang yang diambil hanyalah barang keperluan asas sahaja. Anak guam telah insaf dan mohon diberikan peluang kedua,” kata Muhammad Rhastdan.

Difahamkan pempengaruh berkenaan mempunyai lebih dari 200,000 pengikut di Instagram yang kebanyakannya berkongsi gambar seksi berpakaian dalam. Namun, akaun Instagramnya itu telah dinyahaktifkan.