Insiden tolak pengadil: Natxo Insa perlu dikenakan tindakan tegas

Insiden tolak pengadil: Natxo Insa perlu dikenakan tindakan tegas

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa perlu mendapat hukuman tegas daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan tindakannya menolak pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin pada aksi Liga Super menentang Perak FC di Ipoh, kelmarin.

Malah, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh mengakui pemain berdarah campuran itu sepatutnya menerima kad merah atas tindakan yang disifatkan sebagai keganasan kepada pengadil.

Justeru, bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu mahu tindakan tegas dikenakan bukan sahaja kepada Insa malah kepada beberapa pemain yang sebelum ini turut melakukan keganasan kepada pengadil perlawanan.

“Kalau pengadil buat silap, mereka terus digantung perlawanan tetapi kalau pemain terpaksa tunggu Jawatankuasa Disiplin buat keputusan dahulu yang mana ia memakan masa. Disebabkan tiada tindakan tegas, keganasan seperti ini terus berlaku.

“Ini bukan untuk Natxo sahaja tetapi kepada mana mana pemain yang bertindak ganas seperti itu, kita ‘reman’ mereka dahulu sebelum dapat keputusan dan selepas itu beri penggantungan mungkin untuk semusim sebagai pengajaran supaya ia tidak berulang.

“Ini kerana kita lihat pemain sekarang seolah-olah tidak menghormati pengadil. Malah kalau diberikan klip video (Insa) itu kepada mana-mana pengadil antarabangsa sekalipun, mereka pasti menjawab kad merah perlu dilayangkan,” katanya.

Sebelum ini, pemain Kelantan FC, Jack Hindle didapati menolak pengadil perlawanan, Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin di dalam kotak penalti selain pemain Melaka United (MU), Alex dos Santos Goncalves yang sengaja membaling bola ke arah pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Dua pemain terbabit selain pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri yang melakukan simulasi akan diheret ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Sebagai rekod, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias sebelum ini pernah digantung setahun dan denda AS$40,000 (RM164,000) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atas tindakannya yang mengasari pengadil ketika aksi Piala AFC 2017.

Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC menjatuhkan hukuman itu selepas Farizal menolak pengadil dari China, Fu Ming ketika aksi membabitkan JDT menentang Ceres Negros di Bacolod City, Filipina.

“Jawatankuasa menegaskan integriti fizikal pegawai perlawanan perlu dihormati dan dijaga setiap masa,” kata badan induk itu menerusi satu kenyataan ketika itu. – BH