Insiden sidang DUN bawah pokok, Sivakumar sudah ‘move on’
V Sivakumar yang pernah mencatat sejarah dalam politik Perak dan negara kerana memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok pada 3 Mac 2009, mengakui tidak berkecil hati, berdendam atau marah apabila megenangkan peristiwa itu.
Bekas Speaker DUN Perak itu yang menang kerusi Parlimen Batu Gajah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu, dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengakui insiden itu masih diperkatakan secara sinis selain diketawakan terutama apabila kini beliau berada dalam Jemaah Menteri, Sivakumar berkata, mereka yang masih mengungkit dan mentertawakan insiden 13 tahun lalu itu mungkin tidak faham selok-belok perundangan dan Perlembagaan.
Katanya, pihak berkenaan juga mungkin tidak memahami kuasa yang ada pada Speaker atau Yang Dipertua DUN.
“Memang sehingga kini ramai masih ingat peristiwa itu, kadangkala diperkatakan secara sinis. Itu suatu perkara yang saya terpaksa lakukan ketika itu, semua prosedur berlunaskan undang-undang. Kini, saya sudah tiada rasa dendam atau marah dengan apa yang dilakukan terhadap saya ketika itu.
“Saya diheret dan diusung keluar dari dalam bangunan DUN dan ramai juga tahu mengenainya. Walaupun ketika itu saya marah, tetapi selepas begitu lama, marah dan dendam sudah tiada lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Khatan Perdana di Surau Nurul Huda, Taman Tasek Putra, Tronoh, di sini hari ini.
Sivakumar menegaskan, walaupun sudah melupakan peristiwa itu atau ‘move on’, beliau tetap berpegang dengan prinsip mempertahankan kedaulatan undang-undang ketika itu.
Katanya, beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Speaker yang diamanahkan, iaitu memastikan tiada pihak mencemari sistem perundangan.
Menurutnya, peristiwa yang tercetus akibat krisis perlembagaan Perak itu sewajarnya dijadikan pengajaran dan tidak boleh dipandang remeh, terutama dari segi penafsiran terhadap sesuatu klausa termaktub dalam teks perundangan sedia ada.
“Dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang yang kita ada, tiada yang menyebutkan tidak boleh bersidang selain di dewan (DUN), termasuk di bawah pokok, asalkan syarat dipenuhi, iaitu keberadaan Speaker dan korum mencukupi.
“Ia tidak pun menyentuh perlu adanya bangunan, bumbung, lantai, dinding, meja, kerusi dan sebagainya. Jadi itulah prinsip yang saya gunakan pada waktu terdesak itu biarpun mungkin sebelumnya tidak pernah dilakukan perkara sebegitu (sidang bawah pokok),” katanya.
Sivakumar turut memaklumkan kemungkinan menghasilkan buku menceritakan krisis politik Perak bertemakan persidangan bawah pokok dari kaca mata beliau sendiri.
“Ia (sidang DUN bawah pokok) hanya sebahagian kecil daripada rentetan peristiwa (krisis Perlembagaan di Perak) pada 2009. Ya, mungkin saya akan cuba kongsi pengalaman itu untuk tatapan generasi mendatang supaya memahami lebih dalam dan dapat gambaran lebih jelas,” katanya.
Pada 2009, Sivakumar memanggil sidang tergempar DUN untuk membentangkan usul ke atas peralihan tampuk kuasa kerajaan negeri Perak.
Persidangan berlangsung di bawah pokok hujan-hujan selepas Ahli DUN (ADUN) Pakatan Rakyat ketika itu dihalang memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.
Insiden itu menarik tumpuan ramai, malah ada menganggap ia peristiwa melucukan kerana persidangan dilangsungkan di bawah pokok dengan Sivakumar lengkap berpakaian Speaker DUN bersama jubah dan bersongkok sambil disaksikan kira-kira 2,000 individu di situ.