Insiden Faisal disimbah asid: Tak sama dengan kronologi sebelum ini, pemilik kereta sebelah akhirnya bersuara

Insiden Faisal disimbah asid: Tak sama dengan kronologi sebelum ini, pemilik kereta sebelah akhirnya bersuara

 

KECOH di media sosial mengenai penularan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan individu dipercayai Faisal Halim disimbah asid.

Segelintir netizen bagaimanapun mempertikaikan kesahihannya berikutan video CCTV yang tular itu dilihat tidak menyamai laporan sebelum ini.

Menurut mStar, seorang wanita mengesahkan rakaman CCTV yang tular membabitkan pemain kebangsaan itu.

“Ya, rakaman CCTV ni memang sahih. Sebab kereta saya ada dalam rakaman CCTV itu,” kata wanita yang dikenali sebagai Farra Nathasha Hidzir menerusi satu ciapan di laman X.

Menurut kronologi yang dilaporkan sebelum ini, Faisal sempat masuk ke dalam sebuah Toyota Vellfire sebelum diserang suspek.

Namun wanita itu turut mendakwa bahawa Faisal Halim tidak menaiki Vellfire ketika kejadian berlaku.

“Tak.. Faisal Halim tak naik Vellfire pun masa tu,” katanya menjawab pertanyaan netizen.

Dia juga mengakui tidak mahu melebihi kenyataan polis dalam memberikan maklumat lanjut berhubung kejadian.

Terdahulu, rakaman berdurasi 56 saat yang dikongsikan di laman X itu menunjukkan seorang lelaki mirip pemain sayap kebangsaan berkenaan sedang berjalan di ruang parkir kereta di sebuah pusat beli-belah.

Ketika dia menghampiri sebuah kereta berwarna putih, kelihatan seorang lelaki menyimbah cecair ke arahnya.

Pelaku kemudiannya membonceng sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi lelaki sebelum mereka bergegas melarikan diri.

Turut kelihatan dalam rakaman itu adalah seorang wanita, dipercayai isteri Faisal.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan mengesahkan tentang ketulenan rakaman berkenaan dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam waktu terdekat.

Pada 5 Mei lalu, wanita itu mendedahkan dia turut berada di lokasi kejadian ketika Faisal disimbah asid.

Menerusi perkongsian foto di platform X, wanita itu berkata cat pada bahagian depan keretanya turut terkena simbahan asid berkenaan.

“Tak pasal-pasal kereta saya pun kena, sebab kereta saya parked sebelah kereta Faisal Halim. Nasib baik family saya sampai dekat carpark selepas kejadian. Nauzubillah.

“Tak tahu (asid jenis apa). Tapi asid macam mana pun memang teruk la kan? Cat kereta pun boleh jadi macam tu. Kalau kena badan lagi la teruk. Kesian. Alhamdulillah, saya dan keluarga tiada apa-apa,” kata wanita itu menerusi ciapannya di platform X.