‘Ini sukan bukan politik, jadi berhentilah berdalih’

‘Ini sukan bukan politik, jadi berhentilah berdalih’

 

KEJAHILAN KITA DIPERTONTONKAN KEPADA DUNIA

Saya mengambil sedikit masa untuk merenung apalah nasib dan masa depan sukan negara, setelah membaca beberapa kali artikel dengan respons Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu ini.

Sebelum saya jelaskan, saya ingin menyeru agar Peja sendiri membuat sedikit soul searching untuk memastikan apakah portfolio sukan ini benar-benar sesuai dengan karakter dan keperibadiannya sendiri.

Kenyataan Peja yang menyeru agar IPC dan WPA mempertimbangkan agar keputusan perlucutan athlet lontar peluru para F20 Ziyad Zolkefli dari senarai peserta kerana kelewatan pendaftaran di call room yang diwajibkan bagi semua peserta adalah, pada pendapat saya, memesongkan semangat dan etika kesukanan.

“Apatah lagi atlet-atlet itu sudah bersedia menunggu selama lima tahun tetapi harapan dan semangat Paralimpik mereka dimusnahkan kerana kelewatan tidak sampai pun lima minit sahaja,” kata Peja kepada Berita Harian. Tambahnya beliau amat berdukacita dengan tindakan IPC dan WPA ini.

Seterusnya, Peja menyeru agar pihak IPC dan WPA mengkaji semula peraturan,”termasuk peraturan yang memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskannya”.

Pertama sekali, pegawai-pegawai MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang bertanggungjawab ke atas Ziyad (athlet kategori F20 i.e. Intellectual impairment) adalah ditanggung oleh pembayar cukai negara dan mereka dibayar untuk mewakili dan membawa imej negara di mata dunia.

2. Memang benar athlet-athlet ini telah bersedia menunggu selama 5 tahun untuk beraksi di Paralimpik Tokyo. Jadi tiada alasan yang patut diterima untuk lewat walau seminit pun untuk kejohanan paling penting dalam karier Ziyad ini.

Apakah ada perkara lebih penting kepada mereka pada ketika itu yang menyebabkan mereka gagal menguruskan masa sampai terlewat 3 minit?

Apakah ini tidak merosakkan imej negara apabila pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan menguruskan athlet yang merupakan pemegang rekod dunia, juara dunia dan juara bertahan Paralimpik gagal perkara paling asas, iaitu menepati masa?

Dan memburukkan lagi keadaan, bukan sahaja ketua kontinjen negara dan beberapa media cuba menutup kesalahan mereka sendiri dengan menuding jari bukan sahaja kepada pihak penganjur, tetapi athlet negara lain.

Paling buruk sekali adalah bilamana tingkah laku yang membawa kegagalan dan masalah disiplin asas ini disokong penuh dan dipertahankan oleh tidak lain dan tidak bukan Menteri Belia dan Sukan negara ini.

Malah menteri tersebut turut menyeru agar IPC dan WPA untuk mengubah pengurusan peraturan untuk membenarkan perlanggaran ini!!

Tuan-tuan pembaca dan Peja, sila terangkan kepada saya, apakah ini imej yang kita mahu paparkan kepada dunia? Kegagalan disiplin dan profesionalisme yang disokong penuh oleh kerajaan?

Jika jawapannya tidak, maka akauntabiliti harus ditegakkan dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab terhadap kegagalan ini harus diambil tindakan sewajarnya.

Peja juga kononnya mengarahkan MPM dan MSN menjalankan siasatan terperinci. Apakah MPM dan MSN tidak terlibat dalam perkara ini? Maka mereka siasat kesalahan mereka sendiri?

Peja harus peka dengan masih relevannya Akta Pembangunan Sukan 1997 yang menjadi tunjang keberadaannya di jawatan itu. Maka tindakan perlu diambil berlandaskan undang-undang sukan negara, tanpa kompromi.

Tindakan yang lebih arif adalah siasatan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk tindakan susulan, seperti yang diperuntukkan Akta Pembangunan Sukan 1997.

Langkah-langkah ini harus dimulakan dengan berlapang dada dan menerima hakikat bahawa kegagalan ini adalah berpunca dari kecuaian kita sendiri dan bukan salah orang lain.

Ini sukan, bukan politik.
Dalam sukan tiada keperluan untuk menafikan realiti atau menutup kegagalan.
Kerana kegagalan itu perlu disedari untuk diperbaiki jika kita mahu maju. Dan perlu kematangan untuk menerima hakikat ini.

Jadi berhentilah berdalih.

Sekian.

Arnaz M. Khairul
Mantan wakil Asia Tenggara
Association of International Cycling Journalists (AIJC)

Sumber: Arnaz M. Khairul