“Ini jer yang mampu..” – Prince Syed hadiahkan tudung bertatah 12,500 swarovski bernilai RM35 ribu untuk isteri

Ketika orang lain membelanjakan wang untuk ibadah korban, pempengaruh dan usahawan Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman rela berhabis RM35,000 buat isteri tercinta dengan menghadiahkan tudung bertatahkan 12,500 batu kristal Swarovski.
Beliau yang juga dikenali sebagai Prince Syed, 32, berkata, tudung itu adalah rekaannya demi menggembirakan dan tanda menghargai pengorbanan cinta hatinya Fatin Syazwani Ishak, 26.
Menurutnya, beliau mengambil masa tiga hari untuk menjahit tudung berkenaan dan gembira apabila dapat menghadiahkan isterinya untuk digayakan sempena Aidiladha, hari ini.
“Saya tak pernah buat rekaan dan jahit tudung sebelum ini kerana lebih banyak menghasilkan baju raya buat anak, isteri dan keluarga.
“Tapi sempena Aidiladha tahun ini, saya sudah pasang niat mahu menghadiahkan isteri tudung, jadi jahit khas untuknya.
“Oleh kerana isteri gemarkan batu kristal Swarovski, maka saya letakkan sekali di atas tudung sebagai penyeri dengan harapan dia dapat gayakannya di hari raya sekali gus jadi orang pertama memakai hijab rekaan saya,” katanya menurut Harian Metro.
Mengulas dakwaan segelintir netizen yang menuduhnya gemar menunjuk-nunjuk, Syed Muhammad Syah Hasif, berkata tiada sebab untuknya bermegah dengan apa dilakukan terhadap isterinya.
Sebaliknya, beliau sekadar berkongsi dengan harapan ada suami lain turut sama menghargai isteri mengikut kemampuan masing-masing.
“Bukan niat saya untuk riak, takbur jauh sekali ujub, tapi kalau berkemampuan, tak salah rasanya berkongsi dengan pasangan sebab saya pun tumpang rezeki dan kesenangannya.
“Tanpa sokongannya pun, saya mungkin tak sampai tahap ini. Jadi sebagai tanda menghargai pengorbanannya, apa salah saya melabur.
“Bukan orang lain pun, tapi pasangan sendiri dan diharap dengan apa yang dipamerkan itu dapat mengajak suami lain menghargai pasangan mereka,” katanya.
Katanya, bukan semua komen negatif diterimanya kerana banyak juga komen dan kiriman mesej daripada mereka yang terkesan dengan apa dikongsikan.
“Ada juga minta pandangan, macam mana membina keluarga bahagia walaupun sudah lama kahwin.
“Jadi, saya kongsi saja tips berdasarkan pengalaman sendiri kerana sekurang-kurangnya dapat pahala bantu mereka,” katanya.