“Ini bukan pertama kali..” – Rupanya sudah setahun remaja lelaki dibiar ibu bapa tidur di koridor flat

Kejadian seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dihalau memasuki rumah sehingga terpaksa tidur di koridor rumah flat di Pasir Gudang, Johor selama empat hari telah mengundang kemarahan orang ramai di media sosial.
Seorang penduduk yang juga jiran kepada keluarga itu mendakwa remaja yang diabaikan kedua-dua ibu bapanya telah berdepan situasi itu sejak lebih setahun lalu.
Menurut Kosmo, jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Din, dia memberitahu kejadian yang menimpa remaja tersebut telah berlarutan sejak setahun lepas.
Katanya, mereka juga hairan kenapa remaja terbabit diperlakukan sebegitu kerana dia bukan seorang yang bermasalah.
“Ini bukan pertama kali tetapi sudah beberapa kali berlaku dalam tempoh setahun ini. Mereka tinggal di rumah itu empat sekeluarga dan mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik.
“Kami sendiri hairan mengapa situasi seperti itu berlaku kerana kanak-kanak itu kelihatan normal dan bukan kanak-kanak yang bermasalah atau kurang ajar.
“Cuma pasangan ibu bapa berkenaan memang tidak bergaul dengan penduduk sejak mereka mula menetap di sini kira-kira 7 tahun lalu,” katanya.
Walaupun dilakukan sedemikan, jiran juga mengatakan remaja itu dilihat rajin ke sekolah meskipun tidak dibenarkan untuk memasuki kediaman keluarganya.
“Mangsa tidak dibenar masuk ke rumah, pakaian seragam sekolah diberikan ibu mangsa melalui tingkap sahaja kemudian pandai-pandai dia untuk bersiap sendiri ke sekolah,” ujarnya.
Menurut seorang lagi jiran yang dikenali sebagai Nur, dia memaklumkan remaja itu sering dilihat mandi di tandas awam medan selera berhampiran.
Ujarnya, jiran-jiran ada memberikan makanan kepadanya namun dia perlu makan di tempat lain dan jauh dari kawasan berhampiran rumah kerana bimbang makanan itu dibuang ibu bapanya jika mendapat tahu ada pihak memberikan makanan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak dipetik berkata, ibu bapa remaja itu direman selama lima hari untuk membantu siasatan lanjut.