‘Influencer’ bangga tayang iPhone 16, netizen kecewa komen berkaitan boikot dipadam
Dikala orang ramai berbual hangat tentang jualan barisan siri iPhone 16 di kedai rasmi Apple, mereka seperti sudah terlupa bahawa syarikat gergasi ini terpalit dengan menyumbang dana kepada regim Zionis Israel.
Kempen boikot terhadap produk atau servis berkait dengan Israel hanya menjadi ungkapan di bibir namun realitinya masih mendambakannya.
Malah, ramai influencer tempatan berpusu-pusu menjadi yang terawal memiliki iPhone 16 lalu ditayang dengan bangganya di media sosial bak memenangi anugerah pula.
Menurut Vocket, seorang pengguna TikTok berkongsi beberapa tangkap layar yang memperlihatkan sejumlah influencer tempatan yang tidak sensitif dengan isu boikot terhadap Israel.
Mereka dilihat berbangga berkongsi video pergi membeli dan unboxing iPhone 16 yang baru dibeli untuk tatapan umum.
Lebih menyedihkan lagi, apabila ada di antara mereka yang giat melaungkan boikot terhadap Israel dan berkongsi video kesedaran saudara seIslam ditindas di bumi Gaza pada saban hari tapi itu hanyalah sandiwara kerana boikot hanya dibuat ke atas produk atau servis tertentu sahaja.
Apabila berkaitan Apple, mereka seperti menutup mata dan sedia membelanjakan wang yang besar untuk mendapatkan gajet yang paling terkini.
Tidak cukup berbangga di media sosial, ada sebahagian mereka siap padam komentar dari netizen yang menegur tentang boikot walhal mereka hanya memberi peringatan sahaja pembelian itu secara tidak langsung memberi sokongan kepada negara haram tersebut.
Apabil ditanya sebab membeli produk Apple, pelbagai alasan yang diberikan bagi mempertahankan tindakan pembelian iPhone 16 keluaran Apple tersebut.
Pengguna TikTok bernama @Sophie lalu meluahkan rasa kekecewaan dengan segelintir influencer yang hanya menjadikan kempen sebagai trend semata-mata.
Bukan itu sahaja, dia merasakan individu terbabit mempunyai pengaruh yang besar dan bakal menjadi ikutan para peminatnya.
Menjengah ke ruangan komentar, ramai yang bersetuju dengan kenyataan wanita tersebut dan turut sedih melihat sesetengah influencer yang tidak cakna dengan isu boikot dan hanya sembang kosong kerana perbuatan memperlihatkan sebaliknya.
Bukan itu sahaja, ada sebahagian netizen mendakwa sebahagian influencer ini yang memberi respons sinis kepada komen-komen berkaitan boikot seolah-olah pembeliannya adalah satu trofi kebanggaan pula.