Indra Putra bakal kembali ke Perak?

Indra Putra bakal kembali ke Perak?

 

SELEPAS hampir dua dekad berkelana mewakili beberapa pasukan dan mencipta pelbagai kejayaan dalam saingan liga domestik, bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dilaporkan bakal kembali ke Perak.

Pemain yang bakal berusia 41 tahun pada September nanti itu mula mencipta nama bersama Perak termasuk dua kali menjulang Liga Perdana I (sebelum Liga Super diperkenalkan) sebelum berhijrah ke Pahang pada musim 2004.

Kemungkinan Indra Putra pulang ke pangkuan Perak dikongsi wartawan sukan The Star, T Avineshwaran menerusi satu ciapan di Twitter malam tadi.

“Selepas 19 tahun, pemain sayap veteran Indra Putra Mahayuddin mungkin akan berpindah ke Perak.

“Dia meninggalkan negeri kelahirannya pada 2003 untuk menyertai Pahang dan sejak itu, dia bermain untuk pasukan seperti Selangor, Kelantan, T-Team, Felda United dan kini Kuala Lumpur,” ciapnya.

Jika menjadi kenyataan, Indra Putra dijangka menjadi aset penting buat Perak FC terutama bagi membimbing pasukan muda kendalian Yusry Che Lah dalam saingan Liga Premier musim 2022.