Individu tuntut Shahir bayar hutang sebelum nikah, “Sampai dah arwah orang tu”

Individu tuntut Shahir bayar hutang sebelum nikah, “Sampai dah arwah orang tu”

 

Bintang Akademi Fantasia, Shahir Zawawi bakal menamatkan zaman bujangnya dan akan bergelar sebagai seorang suami pada hari Jumaat ini.

Namun, disebalik menanti hari bahagia tu ada pula isu yang mencemarkan namanya bila muncul desas-desus mengatakan dia gagal menjelaskan hutang beberapa individu tersebar di media sosial.

Dakwaan ini didedahkan seorang warga maya di ruangan komen sebuah portal yang memaparkan artikel mengenai Shahir, baru-baru ini.

Shahir tak sempat ambik tahu sebab sibuk urus hal kahwin

Berikutan itu, Shahir tampil menjawab mengenai dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa dia tidak tahu menahu mengenai isu itu dan perlu menyemak semula komen yang dibuat individu tersebut.

Saya tidak tahu tentang cerita tersebut. Sekarang ini sibuk menguruskan hal perkahwinan, jadi tak sempat nak ambil tahu. Saya kenalah semak dahulu apa yang diperkatakan sebab tak tahu hujung pangkalnya.

Dalam komen yang ditinggalkan individu itu, dia mendakwa wang upah yang disertai Shahir dalam sebuah acara gagal dilunaskan sehingga mengalami kerugian.

Ada pula orang lain turut dakwa dia juga tanggung kerugian

Malah, komen individu itu juga mendapat sokongan seorang lagi warga maya yang mendakwa syarikat pengurusan artis lain turut mengalami situasi yang sama.

Bayar hutang dulu baru nikah. Aku yang hidup ni pun dia buat senyap sahaja. AF Megastar aku rugi dekat RM4,000. Duit aku sendiri tu.

Terdahulu, Shahir mengumumkan bahawa dia bakal melangsungkan perkahwinan bersama seorang wanita bernama Jaskin Jaludin pada 2 September ini.