Individu dakwa terima suntikan vaksin Pfizer ‘kosong’

Individu dakwa terima suntikan vaksin Pfizer ‘kosong’

Seorang individu terkejut apabila mendakwa menerima suntikan vaksin jenis Pfizer ‘kosong’ ketika mendapatkan suntikan di Hospital Banting, dekat sini semalam.

Menurut laporan polis yang tular di laman media sosial, individu berkenaan mendakwa dia menerima suntikan itu pukul 11.30 pagi dan turut membuat rakaman video sepanjang proses berkenaan.

Katanya, sebaik selesai, dia menonton kembali rakaman video berkenaan dan mendapati pihak berkenaan tidak menekan jarum untuk memasukkan vaksin ke dalam badan.

“Saya melihat semula video yang dirakam di telefon bimbit dan mengetahui bahawa suntikan itu adalah kosong iaitu yang tidak mempunyai apa-apa vaksin,” katanya.

Bagi mendapatkan kepastian, individu berkenaan pergi semula kepada pihak terbabit dan bertanyakan lebih lanjut sambil menunjukkan rakaman video berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka mendakwa telah memberikan suntikan vaksin membuatkan dia kemudian mendapatkan pandangan kedua daripada rakannya yang bekerja sebagai doktor.

“Saya kembali semula kepada pihak berkenaan dan memberitahu bahawa suntkan yang diberikan adalah kosong.

“Selepas itu mereka memarahi saya kerana merakam video tersebut lalu memberikan suntikan sekali lagi dan meminta saya memadamkan video berkenaan sebelum menerima vaksin,” ujarnya.

Video berdurasi 17 saat itu tular di media sosial menggunakan nama Simon Ng sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Sumber: Kosmo