Individu dakwa restoran Chef Wan potong separuh gaji pekerja, tak bayar OT sebab tiada untung?
Nama cef selebriti terkemuka tanah air, Datuk Chef Wan kini sedang menjadi topik perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial.
Mana tidaknya, tukang masak terkenal itu didakwa telah melakukan pemotongan gaji melibatkan hampir kesemua kakitangannya di restoran De.Wan 1958 by Chef Wan.
Lebih memburukkan keadaan, kakitangan restoran tersebut juga dikatakan langsung tidak menerima bayaran overtime (OT) walaupun mereka telah bekerja lebih masa.
Tular di media sosial, perkara mengejutkan itu dibongkarkan menerusi beberapa siri hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok dipercayai milik pekerja restoran tersebut.
Difahamkan, perkara itu tidak dijangka akan berlaku kerana hampir kesemua pekerja dikatakan bukan ‘calang-calang’ dan memiliki pengalaman dalam bidang masakan.
“Baru sahaja pekerja dikejutkan dengan berita tidak dibayar OT. Tiba-tiba selang beberapa hari, dikejutkan lagi dengan khabar bahawa GAJI KAMI SEMUA AKAN DIKURANGKAN!
“Ya Allah, ujian apakah yang kami terima kali ini? Bayangkan perasaan mereka ini semua apabila diberitahu gaji akan dikurangkan serta-merta. Adakah Datuk Chef Wan sedar apabila membuat keputusan?
“Staf yang bukan dalam kategori Pengurusan, kesemuanya disamakan tangga gaji menjadi RM1500 sebulan. Kerja dekat MCD pun dapat gaji pokok hampir RM1900. Tahu tak Datuk Chef Wan?,” luah pengguna tersebut.
Menurut pengguna itu, pemotongan gaji tersebut tidak hanya menjejaskan pekerja bawahan namun mereka yang memegang jawatan penting turut terkena tempias.
Mengulas lanjut mengenai pembayaran OT, pekerja yang bertugas lebih masa tidak menerima wang ringgit sebaliknya hanya diberikan pampasan berupa ‘claim hours’.
“Chef kategori pengurusan iaitu ketua dan pengurus pula dipotong gaji sampai cecah RM1000 ke RM3000. Aduh, kasihanlah chef-chef berbakat dan terkenal bila dengar berita ini.
“Kami bekerja nak DUIT, bukannya cuti! Kerja di restoran memang akan ada OT. Nak sedia barang dapur lagi, kemas meja, kerusi, pinggan dan mangkuk semua. Ibarat kami terpaksa juga buat OT walaupun tak dibayar.
Dalam hantaran yang sama, kakitangan restoran telah meminta penjelasan daripada bahagian sumber manusia (HR) namun menerima jawapan yang tidak memuaskan.
Jelas pengguna TikTok berkenaan, HR menggunakan alasan bahawa restoran tiada keuntungan sedangkan harga makanan dijual di premis tersebut agak tinggi (mahal).
Setakat artikel ini ditulis, belum ada sebarang maklum balas daripada Chef Wan atau nama sebenarnya, Datuk Redzuawan Ismail mengenai kesahihan dakwaan tersebut.