Imam buat ‘live’ TikTok & Facebook cari dana untuk bina hotel di masjid

Imam buat ‘live’ TikTok & Facebook cari dana untuk bina hotel di masjid

 

Pelbagai cara yang dilakukan oleh segelintir pengguna media sosial untuk meraih pendapatan seperti membuat siaran langsung (live).

Cara yang sama dilakukan oleh seorang imam dari Masjid Al-Busyra, Merbok kerana mengambil peluang membuat  live di TikTok dan Facebook bagi meraih dana untuk pembinaan hotel di masjid berkenaan.

Masjid 1

Menurut Sinar Harian, imam yang bernama Mohd Firdaus Mat Akhir, 36, menggunakan platform TikTok dan Facebook untuk melancarkan kutipan RM2.40 seorang bagi mencukupkan dana hotel yang berjumlah RM2.4 juta. Tindakannya ini telah memberi peluang kepada pengguna TikTok yang lain untuk berinfak ke jalan Allah.

Tambahnya, inisiatif ini dilakukan selepas dia terinspirasi dengan usahawan dan influencer media sosial, Khairul Aming yang berjaya menjual 80,000 unit produk Dendeng Nyet Berapi hanya dalam masa tiga minit.

Produk terbaharu usahawan dan juga pempengaruh media sosial, Khairul Aming iaitu Dendeng Nyet Berapi terjual 80,000 unit hanya dalam tiga minit, saya melihat live itu dan berniat, masjid pun akan guna platform sama untuk lancar kutipan agar semua orang berpeluang kumpul pahala.

Siaran langsung yang diuruskan oleh jawatankuasa masjid dan jemaah yang hadir telah membuahkan hasil. Setelah beberapa hari membuat live dalam masa sejam, Mohd Firdaus berjaya memperoleh kutipan berjumlah RM245,452 termasuk lebih RM100,000 kutipan terkumpul sebelum sesi live bermula.

Selain menjadikan inisiatif itu sebagai cara untuk orang ramai mengumpul pahala, Mohd Firdaus turut bersyukur dan berterima kasih dengan semua penyumbang yang memberikan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak masjid.

Ini kali pertama kita lancarkan kutipan dalam live dapat banyak ini pun saya bersyukur sangat. Moga Allah berkati usaha kita dan limpahkan rezeki kepada semua yang menyokong, namun usaha kita untuk cukupkan dana RM2.4 juta akan tetap diteruskan setiap hari.

Masjid Al-Busyra, Merbok juga pernah tular di seluruh negara sehingga seluruh kawasan masjid itu telah dinaik taraf menjadi masjid mesra musafir yang lengkap dengan medan selera, dobi layan diri, tempat cuci kereta, tandas, kedai gunting rambut dan pelbagai fasiliti lain.