Identiti kanak-kanak yang lemas di Sungai Jerong dikenal pasti

Identiti kanak-kanak yang lemas di Sungai Jerong dikenal pasti

Identiti kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di Sungai Jerong dekat Kampung Bikam, Sungkai, hari ini dikenal pasti sebagai Muhamad Amsyar Mohd Zamri, 5.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihak polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam, 11.15 pagi tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bersama anggota polis dari Balai Polis Sungkai dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tapah serta penduduk kampung di tempat kejadian.

Mangsa dipercayai bermain di sungai terbabit bersama dua adik-beradiknya dan sepupu berusia 5 hingga 11 tahun.

“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati mangsa bersama dua adik-beradiknya dan sepupu mula bermain air di sungai terbabit kira-kira 10.45 pagi tadi.

“Ibu bapa mangsa tidak menyedari mangsa telah pergi bermain air dan hanya menyedari apabila tiga orang kanak-kanak terbabit berlari pulang memaklumkan mangsa telah terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Azharuddin berkata, jarak dari rumah dengan tempat kejadian kira-kira 200 meter.

Beliau berkata, mangsa telah ditemukan lemas oleh sepasukan penyelamat pada 11.30 pagi iaitu kira-kira 15 meter dari tempat mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Keluarga mangsa dari FELDA Besout 2 Tambahan telah mengunjungi rumah saudara mereka di kampung terbabit sejak semalam dan hujan lebat di kawasan ini menyebabkan arus sungai menjadi deras.

“Siasatan awal pihak polis juga mendapati tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

                   

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/659750/identiti-kanak-kanak-lemas-dikenal-pasti