Ibu warga China, kanak-kanak 5 tahun berjaya dapat warganegara Malaysia

Ibu warga China, kanak-kanak 5 tahun berjaya dapat warganegara Malaysia

 

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang bapanya rakyat Malaysia dan dilahirkan di negara ini oleh wanita warga China, hari ini berjaya mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed membenarkan permohonan kanak-kanak itu yang sebelum ini memegang status ‘tidak bernegara’ supaya Ketua Pendaftar Kelahiran dan Kematian Malaysia mendaftarkan semula taraf kewarganegaraan kanak-kanak berkenaan sebagai warganegara Malaysia.

Dalam penghakimannya, beliau memutuskan kanak-kanak itu memenuhi syarat kelayakan sebagai warganegara kerana memenuhi Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu bapanya seorang warganegara Malaysia serta dilahirkan di Malaysia dan tidak dilahirkan sebagai warganegara negara lain.

Hakim itu membuat keputusan selepas membenarkan saman pemula yang difailkan kanak-kanak itu melalui bapanya pada Disember 2019.

Dalam permohonan berkenaan, kanak-kanak itu memohon supaya Ketua Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Malaysia mendaftarkan semula taraf kewarganegaraannya sebagai warganegara Malaysia.

Pemohon juga memohon Ketua Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Malaysia mendaftarkan semula kelahirannya sebagai orang sah taraf dan menamakan bapanya yang berusia 38 tahun sebagai bapa kandung dan ibunya, 39 tahun, sebagai ibu kandung.

Alasan pemohon memfailkan saman pemula itu antaranya pemohon berhak menjadi warganegara Malaysia dengan cara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembangaan Persekutuan.

Pemohon berkata berdasarkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) bertarikh 18 November 2019 yang dikeluarkan Jabatan Kimia Malaysia, menyatakan bahawa lelaki berusia 38 tahun itu adalah bapa kandungnya.

Peguam Ong Yu Shin, Ooi Keng Liang dan Datuk Nicholas Kow mewakili pemohon.

Ong semasa ditemui pemberita di luar mahkamah berkata hakim memutuskan isu sama ada taraf perkahwinan ibu bapa semasa kanak-kanak itu dilahirkan sah atau tidak adalah tidak relevan dengan kes berkenaan.

“Ini kerana kanak-kanak berkenaan dilahirkan di Ipoh pada 24 Jun 2016 dan tiada pasport luar negara atau kerakyatan negara lain,” katanya, seperti dilaporkan Harian Metro.

COMMENTS