“Ibu, engkaulah ratu hatiku” – Mahu jaga keluarga bila sudah besar, ucapan Ayden buat Bella mengalir air mata

“Ibu, engkaulah ratu hatiku” – Mahu jaga keluarga bila sudah besar, ucapan Ayden buat Bella mengalir air mata

 

Pelakon Bella Astillah dan ibunya dilihat hadir di konti radio Era pagi ini sempena Hari Ibu.

“Ayden janji dekat mummy, Ayden tak akan buat mummy sedih. Nanti bila Ayden sudah besar, Ayden akan jaga mummy dan adik”.

Demikian ucapan istimewa anak lelaki Bella Astillah, Ayden yang membuat kejutan kepada Bella hingga dia menitiskan air mata ketika penyanyi dan pelakon itu hadir sebagai tetamu sebuah stesen radio sempena Hari Ibu.

Walaupun baru berusia tujuh tahun, kata-kata ringkas dan padat itu membuatkan banyak pihak sebak dan mengalirkan air mata.

“Mummy jangan kerja sampai penat tau nanti mummy sakit. Mummy adalah ibu terbaik dalam dunia, Selamat Hari Ibu. Saya sayang mummy!” kata Ayden.

Dalam ucapan berkenaan, Ayden yang juga anak sulung berjanji untuk menjaga kedua ibu dan adiknya apabila dewasa dan mengingatkan ibunya untuk sentiasa menjaga kesihatan apabila bekerja.

Ayden juga sempat menyanyikan beberapa rangkap lagu Ibu Ratu Hatiku pada akhir ucapannya.

Bella yang turut ditemani ibunya, Eina Astillah sebak apabila ucapan berkenaan diputarkan oleh penyampai radio.

Dalam pada itu, Bella memberitahu anak-anaknya adalah anugerah paling bermakna dalam hidupnya.

Selain Ayden, Bella dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Ara Adreanna, 3, hasil perkahwinannya dengan Aliff pada 9 September 2016.

Pasangan itu ketika ini sedang dalam proses perceraian selepas Bella memfailkan cerai terhadap Aliff pada 13 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.