Ibu cekik dan pijak leher anak sebab bengang suami tak jawab ‘call’

Ibu cekik dan pijak leher anak sebab bengang suami tak jawab ‘call’

Netizen di Thailand digemparkan dengan tindakan seorang wanita yang tergamak mendera anak perempuannya menerusi panggilan video hanya kerana tidak berpuas hati dengan suaminya yang tidak menjawab panggilan telefon.

Video kejadian itu juga tersebar meluas di media sosial dan tidak diketahui dalang penyebaran video tersebut, namun ia mengundang banyak reaksi netizen yang mengecam perbuatan wanita itu.

Lapor Sin Chew Daily, suami kepada wanita itu keluar bekerja di Bangkok dan tidak menjawab panggilan telefonnya. Berang dengan situasi itu, dia mengambil keputusan untuk mengugut suaminya dengan melakukan penderaan terhadap anak mereka agar suaminya berasa serba salah.

Wanita itu menghubungi suaminya dan mula mendera mangsa dengan mencekik serta memijak leher kanak-kanak berusia tiga tahun itu menggunakan kakinya.

Dalam video itu, dapat didengari mangsa menjerit dan menangis kesakitan, lebih teruk lagi mangsa pengsan ketika dizalimi ibunya.

Pada penghujung video, wanita itu memaksa anak perempuannya melutut untuk menimbulkan kemarahan suaminya.

Ahli keluarga pasangan itu yang ternampak video viral di Facebook kemudian menghubungi polis untuk meminta bantuan. Mangsa telah diselamatkan dan diserahkan kepada ahli keluarga bapanya untuk perlindungan sementara.

Menyesal dengan perbuatannya, wanita itu pergi ke rumah keluarga suaminya untuk memohon maaf. Namun, keluarga mentua merasakan dia tidak layak untuk dimaafkan dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita itu.

Polis kini sedang menjalankan siasatan dan akan mendakwa wanita itu atas pertuduhan melakukan serangan, yang mana melanggar Akta Perlindungan Kanak-Kanak.

Difahamkan, pasangan itu juga mempunyai seorang lagi anak berusia setahun yang tinggal bersama dengan ibu bapa kepada wanita itu. Pasangan itu terdahulu menetap di Bangkk sebelum berpindah ke Wilayah Roi Et.

Sumber: Sin Chew Daily, China Press, World Of Buzz