Ibu bawa anak naik motor ‘Ysuku’ basah kuyup kena hujan, balik rumah demam, rupanya ini punca tak beli kereta

Ibu bawa anak naik motor ‘Ysuku’ basah kuyup kena hujan, balik rumah demam, rupanya ini punca tak beli kereta

 

Sabar ye sayang, nanti mommy beli kereta.”

Begitulah kapsyen ditulis Shasyaaa Rosly dalam video yang dikongsikan di media sosial sehingga tular dan meraih simpati netizen.

Dalam video tersebut, wanita itu dilihat duduk di atas motosikal jenama Yamaha Y15 atau dipanggil ‘Ysuku’ sambil anaknya diletakkan di dalam pembawa bayi (newborn carrier) dan dirapatkan ke bahagian dada.

Lebih menyentuh hati apabila Shasyaaa dilihat cuba melindungi anaknya, Amanda daripada terkena hujan.

“Semoga semuanya dipermudahkan. Terima kasih 2024,” katanya, seolah-olah reda dengan ujian yang perlu dilalui.

Video yang dikongsikan itu meraih lebih 1.8 juta jumlah tontonan setelah disiarkan.

Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati mereka melihat si kecil itu yang basah kuyup terkena air hujan kerana dibawa menaiki motosikal.

“Ya Allah murahkanlah rezeki keluarga ni. Jadikan anak ini anak yang berjaya suatu hari nanti. Amin.

“Adoi benda-benda ni saya tak kuat tengok. Sabar ye duhai anak. Pelangi (kebahagiaan) pasti muncul,” kata netizen.

Malah, mereka meluahkan rasa kagum melihat ketabahan wanita itu yang sanggup bersusah payah membesar anak.

Terpanggil untuk menjelaskan tentang dirinya, Shasyaa memuat naik satu lagi hantaran.

Menerusi hantaran itu, dia meminta orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan untuk membantunya atau memberikan sumbangan.

“Terima kasih yang mendoakan kami. Terima kasih yang tak terhingga ambil berat pasal kami.

“Tapi saya mohon jangan tag sesiapa untuk berikan saya bantuan. Saya post video tu untuk kenangan saya dengan Amanda.

“Ini jalan hidup saya yang saya harus jalani. Saya bersyukur. Saya memang tak ada niat nak susahkan sesiapa. Cukup sekadar doakan saya je,” katanya.

Menurut wanita berkenaan, motosikal yang digunakan itu dibeli lebih awal sebelum dia berbadan dua lagi.

Tambahnya, dia masih tidak lagi membeli kereta kerana motosikal yang sedang digunakan belum habis dibayar.

“Motor tu saya beli sebelum mengandung. Motor tu pun belum habis bayar lagi. Memang saya dalam perancangan nak beli kereta tapi bukan sekarang. Jika diizinkan Allah, tak lama lagi.

“Kalau ada rezeki kita beli. Ada yang suruh saya buat pinjaman kereta terpakai. Itu bukan jalan yang mudah. Komitmen saya sekarang pun dah cukup-cukup sebab tu saya ada perancangan sendiri.

“Nak buat pinjaman kereta pun pakai duit. Pinjaman bukan dua atau tiga hari je lulus. Saya yang kena hadap hutang bertahun-tahun tu,” ujarnya lagi.

Jika diteliti pada ruangan komen, Shashaa turut menyatakan anaknya mengalami demam panas akibat terkena hujan.