Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari, disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari, disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

 

Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, tahun Disember lalu direman selama tujuh hari, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret, Azura Mohd Saad mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri itu yang memakai baju lokap berwarna oren direman bermula hari ini, sehingga Jumaat ini.

Sebelum ini, mereka dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini pada jam 8.50 pagi tadi untuk direman.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan untuk mengikuti prosiding itu, memandangkan ia masih lagi di peringkat permohonan untuk siasatan.

Sementara itu, peguam mewakili mereka, Mahmud Abdul Jumaat, berkata tangkapan dan reman tujuh hari ke atas ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan adalah berdasarkan perkembangan terbaharu yang diperoleh dalam siasatan polis berhubung kes itu.

Beliau berkata, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) direman tujuh hari bermula hari ini hingga 8 Jun ini bagi siasatan polis yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurutnya, reman tujuh hari yang dibenarkan oleh Azura hari ini bagi membolehkan kedua-dua OYDS untuk membantu siasatan polis dengan lebih lanjut.

“Ada perkembangan terbaharu dari segi percakapan (rekod percakapan OYDS) sebelum ini dan termasuk juga ada beberapa perkembangan terbaharu hasil siasatan pihak polis yang telah ditemui.

“Buat masa ini, kita tidak boleh buat sebarang spekulasi. Saya memohon semua pihak untuk bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat untuk menerima ujian ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat prosiding reman di Mahkamah Majistret di sini, tadi.

Tambah beliau, kes ini masih dalam tempoh reman dan ia bertujuan untuk memberi masa bagi pihak polis untuk melengkapkan siasatan.

“Sekiranya siasatan tamat, kes berkenaan akan dihantar kepada pihak pendakwa raya dan pada saat itu, suspek utama akan diketahui,” katanya.

Mengenai kemungkinan bukti baharu diperoleh polis atau rekod percakapan mereka sebelum ini yang bercanggah,

Mahmud berkata, dua faktor itu mungkin menyumbang kepada penahanan terbabit.

Ketika ditanya mengenai keadaan OYDS, Mahmud berkata kedua-duanya masih dalam terkejut dan semua pihak tahu kedua-dua mereka adalah ibu bapa Zayn Rayyan.

“Sudah tentu sangat terkejut, OYDS adalah ibu bapa kepada mangsa dan ini adalah satu perkara yang tidak dijangkakan.

“Saya sendiri pun agak terkejut, saya percaya satu Malaysia terkejut mengenai perkara ini. Oleh yang demikian saya memohon semua pihak mendoakan agar keluarga kuat untuk menerima perkhabaran ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau pihaknya yakin permohonan reman ke atas ibu bapa Zayn Rayyan oleh pihak polis hari ini adalah bertujuan untuk melengkapkan siasatan mereka.

“Kita akan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci demi keadilan.

“Sekiranya pihak polis dalam tempoh tujuh hari ini tidak dapat melengkapkan siasatan, mereka boleh memohon untuk permohonan reman kali kedua,” katanya.

Terdahulu, BH melaporkan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai di sini, pada Disember tahun lalu, akan direman pagi ini.

Difahamkan, pasangan suami isteri berusia 28 tahun terbabit ditahan semalam di kediaman keluarganya di Puncak Alam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan pasangan suami isteri terbabit.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.