Ibu bapa mengamuk tambang bas sekolah naik sehingga RM300 sebulan, ini penjelasan pengusaha bas

Ibu bapa mengamuk tambang bas sekolah naik sehingga RM300 sebulan, ini penjelasan pengusaha bas

 

Golongan ibu bapa mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka selepas dikatakan perlu membayar sehingga RM300 untuk membiayai perkhidmatan bas sekolah anak-anak bermula Januari akan datang.

Kosmo melaporkan, rata-rata ibu bapa berpendapat bahawa kenaikan yang agak mendadak itu disifatkan sebagai keterlaluan selain didakwa cuba mengambil kesempatan di sebalik kos sara hidup yang tinggi.

Ini penjelasan daripada pengusaha bas

Terbaru, Kosmo melaporkan bahawa punca kenaikan tambang bas sekolah adalah disebabkan oleh kos penyelenggaraan kenderaan yang tinggi serta kenaikan gaji pemandu.

Menurut seorang pengusaha bas yang mahu dikenali sebagai Ramesh, kenaikan kos tambang perkhidmatan bas sekolah itu adalah bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa.

Banyak sebab saya perlu naik­kan harga tambang bas sekolah tahun depan. Kami terpaksa tanggung kos selenggara dan baik pulih van atau bas sekolah yang tinggi setiap bulan bagi memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

Bukan itu sahaja, saya juga perlu memikirkan tentang kebajikan pemandu van sekolah. Ada yang sudah bersuara mahu gaji dinaikkan tahun depan dan saya perlu menunaikannya.

Ketika ini, bukan senang untuk menggajikan pemandu, lebih-lebih lagi ramai pula antara mereka yang sudah beralih kepada pekerjaan lain ketika pandemik Covid-19 dahulu. Jika ada pun, ramai yang sudah berusia 50-an.

Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha yang juga merupakan pemandu van sekolah bernama Ahmad, 49, memaklumkan bahawa dia tidak memaksa mana-mana ibu bapa atau penjaga pelajar untuk terus mendapatkan perkhidmatannya selepas menetapkan kadar tambang baharu tahun depan.

Saya terpaksa naikkan tambang baharu cuma RM20 seorang bagi menampung kos sara hidup diri dan keluarga. Ini belum lagi berdepan dengan pelbagai kerosakan van.

Saya perlu menanggung isteri dan lima anak yang masih bersekolah. Saya tidak memaksa ibu bapa berbuat demikian (membayar ikut tambang baharu) ke­rana ramai lagi yang memerlukan perkhidmatan van sekolah ketika ini.

Boleh tahan tinggi juga kalau sampai RM300 sebulan, ditambah pula dengan kegawatan ekonomi yang melanda dunia sekarang ni.

Diharapkan agar ada jalan penyelesaian dibuat pihak yang terlibat untuk mengawal semua segala kos penyelenggaraan serta tambang perkhidmatan bas sekolah.