Ia pemberian Tuanku Sultan Johor – PM Anwar

Ia pemberian Tuanku Sultan Johor – PM Anwar

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan dirinya menolak untuk menggunakan kenderaan mewah berjenama Mercedes sebagai pengangkutan rasmi hingga mendapat perhatian umum.

Kata Anwar, beliau sebaliknya memilih untuk menggunakan aset kerajaan yang sudah sedia ada untuk kegunaan rasmi hariannya.

Oleh itu, ramai yang mengangumi langkah dan sifatnya yang  sering memikirkan cara untuk bersederhana walaupun sudah dilantik sebagai Perdana Menteri.

Namun, terdapat juga segelintir pihak yang sering mencari kesalahan Ahli Parlimen Tambun itu sehingga beliau menjawab dakwaan supaya tiada fitnah yang ditimbulkan pada masa akan datang.

Dalam satu ciapan di Twitter, seorang netizen membuat kenyataan dipercayai berbaur sindirian dengan mengatakan; walaupun Anwar telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 atas urusan rasmi, namun beliau dilihat mengenakan kasut jenama Louis Vuitton (LV) yang berharga kira-kira RM5,500.

“Pung pang pung pang tolak S600 Mercedes, pakai capal..hari ni dah upgrade ke kasut berharga lebih daripada RM5,500..masyukk PM #KitaBoleh,” dakwa kenyataan itu.

Kenyataan individu itu tular dan menerima pelbagai maklum balas daripada kalangan netizen lain sehinggalah ia tiba ke pengetahuan Anwar sendiri.

Namun dakwaan itu disangkal oleh Anwar dengan menyatakan bahawa kasut tersebut sebenarnya merupakan hadiah pemberian Sultan Johor pada dua tahun lalu.

Ujarnya, rakyat mempunyai hak untuk mempersoal segala perkara yang berkaitan dirinya namun jangan sampai membawa fitnah kepada umum.

“Ia pemberian Tuanku Sultan Johor 2 tahun yang lalu. Saudara nak persoal saya tidak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah,” kata Anwar membalas kenyataan tersebut.

Difahamkan, Anwar turut memakai kasut tersebut semasa mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 10 pada 24 November lalu.