Hutang tertunggak peminjam SPNB Perak menurun kepada RM2.88 juta
Hutang tertunggak pembiayaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Perak kini turun kepada RM2.88 juta berbanding RM3.65 juta sebelum ini.
Pengarah SPNB Perak, Tajul Safuan Abu Hassan berkata, tunggakan itu membabitkan sebanyak 5,349 pemegang akaun.
“Bagi memastikan jumlah itu akan terus dikurangkan, SPNB akan terus turun padang berjumpa pemilik bagi membolehkan tunggakan dapat diselesaikan.
“Ada antara pemilik yang sudah 36 bulan atau tiga tahun gagal menjelaskan bayaran bulanan, SPNB faham jika tunggakan berlaku dalam tempoh kebelakangan kerana kita dilanda pandemik Covid-19.
“Tetapi jika sudah tiga tahun gagal menjelaskan tunggakan mereka perlu datang berbincang dan memaklumkan kepada SPNB supaya kita dapat mencari jalan membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan inden pembinaan Rumah Mesra Rakyat SPNB kepada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak di Bangunan PKMM di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan dan Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim.
Tajul Safuan berkata, SPNB akan memastikan tunggakan pembiayaan akan dapat diminimumkan dan dapat diselesaikan sepenuhnya melalui usaha mengesan dan turun padang yang dijalankan.
Katanya, sebahagian besar pemilik rumah terdiri daripada pekebun dan petani serta mereka yang bekerja sendiri dengan pendapatan bawah RM3,000 sebulan dengan ansuran bulan pembiayaan antara RM150 hingga RM270 sebulan.
Katanya, jika tunggakan itu dapat diselsaikan dan diminimumkan, ia akan dapat memberikan peluang kepada lebih 5,000 permohonan baharu yang kini sedang menunggu kelulusan untuk diproses. – KO