Hutang tertunggak Harakah: Nombor Plat VIP pemimpin Pas boleh bantu bayar hutang – Azhar

Hutang tertunggak Harakah: Nombor Plat VIP pemimpin Pas boleh bantu bayar hutang – Azhar

 

Isu tuntutan hutang tertunggak bekas syarikat pencetak Harakah sepatutnya boleh diselesaikan sekiranya ada pemimpin PAS serius untuk menyelesaikan masalah berkenaan, kata Pemuda Amanah Perak.

Exconya, Azhar Rahman, berkata jika ada keinginan di pihak PAS, banyak pilihan yang boleh diambil oleh parti berkenaan bagi mengumpulkan sumber kewangan.

Satu daripadanya yang boleh difikirkan, kata Azhar, ialah menjana modal melalui penjualan nombor plat kenderaan VIP yang kini digunakan para pemimpin PAS.

Menurutnya, umum mengetahui ramai pemimpin PAS mempunyai kenderaan mewah yang dihiasi dengan nombor pendaftaran bertaraf VIP dan bernilai tinggi.

“Hasil jualan atau lelongan nombor-nombor plat tersebut – walaupun mungkin tidak dapat menebus keseluruhan hutang – paling tidak bolehlah melunaskan sebahagian hutang tersebut.

“Tindakan ini bukan sahaja menjadi langkah proaktif bagi mendapatkan sumber kewangan dengan cepat dan mudah, malah boleh dicontohi ahli PAS dalam usaha mendidik mereka memahami erti pengorbanan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan rungutan Pengurus NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd, Hussin Jan, yang menyatakan rasa geramnya melihat PAS serta kepimpinan parti itu “bermewah-mewah” ketika hutang pada syarikat percetakannya masih belum dilunaskan.

Rakyat boleh nilaikan

Tunggakan bayaran untuk mencetak Harakah itu dianggarkan bernilai jutaan ringgit dan ia masih membelenggu pemilik syarikat terbabit sejak tujuh tahun lalu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun meminta bekas syarikat pencetak akhbar rasmi parti itu menunggu keputusan mahkamah berhubung isu tunggakan hutang berkenaan.

Kata Azhar PAS tidak sepatutnya membebankan syarikat pencetak yang telah memberikan perkhidmatan dan mengeluarkan modal mereka untuk menampung kos.

Tambahnya parti itu juga tidak wajar memberikan alasan bahawa ahli akar umbi tidak membuat bayaran kepada Harakah sehingga menyebabkan masalah tersebut timbul.

Pada masa sama Azhar berkata PAS sepatutnya mengutamakan isu menyelesaikan hutang kerana ia adalah antara tumpuan yang diberi penekanan oleh Islam.

“PAS sebagai sebuah parti yang kuat melaungkan Islam sebagai penyelesaian segala masalah di atas muka bumi ini seharusnya sedar bahawa tuntutan membayar hutang itu adalah wajib dan perlu disegerakan.

“Jangan hanya kuat menjerit tentang Islam semasa pilihan raya sahaja tetapi parti dan pemimpin PAS sendiri tidak mengamalkannya.

“Ketika isu ini masih diselesaikan oleh PAS, maka rakyat kini bolehlah menilai sejauh mana kemampuan serta kesungguhan parti itu dalam isu urus tadbir yang baik,” katanya.