Hutan batu kapur bakal diwartakan

Hutan batu kapur bakal diwartakan

Jabatan Perhutanan Perak menyambut baik cadangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) untuk mewartakan hutan batu kapur sebagai hutan simpan kekal atau kawasan perlindungan.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, perkara itu perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri selain perlu melihat beberapa aspek kawasan hutan tersebut sebelum diwartakan.

“Jabatan Perhutanan Negeri Perak tiada masalah dengan cadangan SAM.

“Bagaimanapun, ianya perlu mendapat persetujuan Kerajaan Negeri dan juga bergantung kepada keadaan kawasan hutan batu kapur yang ada di kawasan tersebut,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai usaha jabatan dalam merealisasikan cadangan itu, Mohamed Zin berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Terdahulu Sinar Harian pada Jumaat melaporkan SAM mencadangkan Jabatan Perhutanan Negeri Perak menubuhkan sekurang-kurangnya satu petak contoh hutan batu kapur yang mempunyai status hutan simpan kekal atau lain-lain kawasan perlindungan supaya mempunyai jaminan security of tenure.

Ia susulan daripada kesan Gunung Lanno yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter berusia lebih 330 juta tahun yang dibimbangi lenyap dari peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai di sini.

Wartakan kawasan hutan batu kapur

Gunung terbesar di Lembah Kinta yang memiliki lebih 30 gua batu kapur cantik dan unik itu kian musnah apabila ada lebih 20 kilang kuari ditempatkan di zon berkenaan.

SAM mendedahkan hutan batu kapur di Lembah Kinta mempunyai spesies kritikal terancam di bawah International Union for Conservation of Nature (IUCN) iaitu pokok Hopea bilitonensis di Gunung Gajah dan Gua Tempurung, Gopeng. Populasi flora itu hanya tumbuh di situ sahaja di Malaysia.

Gua Khantan, Chemor pula terdapat habitat labah-labah iaitu Liphistius khantan yang ditempatkan dalam senarai merah apabila spesies itu tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia. – SH

COMMENTS