Hujan lebat dan banjir di Brazil ragut 57 nyawa, ratusan hilang

Hujan lebat dan banjir di Brazil ragut 57 nyawa, ratusan hilang

 

Sekurang-kurangnya 57 orang telah terkorban dan 373 lainnya masih hilang ketika hujan lebat dan banjir melanda negeri Rio Grande do Sul di Brazil minggu ini. Selain itu, sekurang-kurangnya 74 orang cedera dalam tragedi ini, lapor CNN.

Kerajaan tempatan telah mengisytiharkan keadaan bahaya di kawasan yang terjejas, dengan lebih daripada 67,000 penduduk terkesan. Hampir 10,000 orang telah dipindahkan dan lebih daripada 4,500 berada di tempat perlindungan sementara.

Menurut CNN, pihak berkuasa tempatan sedang memantau dengan teliti empangan yang tidak direka bentuk untuk mengendalikan jumlah air yang begitu tinggi. Mereka berkata tidak ada risiko kegagalan yang akan berlaku.

Gabenor negeri itu, Eduardo Leite berkata, bencana ini merupakan tragedi malang dalam sejarah negara berkenaan.

“Kerugian material adalah sangat besar, tetapi tumpuan kami pada masa ini adalah menyelamat. Masih ada orang menunggu bantuan,” katanya.

Gambar keadaan kawasan yang terjejas tular di media sosial menunjukkan air berwarna coklat berlumpur meningkat setinggi atap rumah di beberapa kawasan, sementara pasukan penyelamat menggunakan rakit angin bagi misi menyelamat orang ramai dan haiwan.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan, paras air di Tasik Guaíba meningkat lima meter pada pagi Sabtu akibat hujan lebat, mengancam ibu negara Porto Alegre.

Susulan itu, Yayasan Brazil dengan kerjasama supermodel Brazil Gisele Bundchen, telah menubuhkan dana untuk membantu mangsa banjir.

Dalam pada itu, Rio Grande do Sul semakin kerap dilanda peristiwa cuaca ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terdahulu, kira-kira 54 orang maut di negeri itu pada September selepas ia mengalami taufan subtropika.

Bagaimanapun, jumlah kematian tahun ini sudah melepasi rekod itu.