Hishammuddin Hussein bakal TPM?

Hishammuddin Hussein bakal TPM?

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal meletakkan seorang Ahli Parlimen (MP) daripada UMNO untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam rombakan Kabinet yang diuar-uarkan minggu depan.

Berada di tangga teratas pilihannya ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dilihat lebih berwibawa daripada MP UMNO yang lain, terutama di dalam urusan pentadbiran Kerajaan Pusat.

Dari segi kekananan, Hishammuddin telah menjadi Menteri di beberapa kementerian utama, setelah pada awalnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada 1996, sebelum menjadi Menteri penuh di Kementerian Belia dan Sukan pada 1999.

Beliau juga pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), selain empat kementerian yang dianggap sebagai ‘tangga’ menuju pintu pejabat TPM dan PM iaitu Kementerian Pendidikan; Kementerian Luar; Kementerian Dalam Negeri; dan Kementerian Pertahanan.

Bagaimanapun sumber memberitahu Agenda Daily, Ismail Sabri perlu mendapat ‘kelulusan’ daripada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk melantik Hishammuddin sebagai TPM, bukan daripada Majlis Tertinggi (MT) atau Presiden UMNO.

Ini kerana, PN serta yang bersekutu dengannya, adalah gabung terbesar parti-parti di luar Barisan Nasional (BN) yang memberi sokongan kepada Ismail Sabri untuk menjadi PM kesembilan.

Di dalam Kabinet sekarang, BN mempunyai 13 menteri, termasuk Ismail Sabri sendiri sebagai PM, dengan 11 daripadanya daripada UMNO dan masing-masing satu MCA dan MIC.

Manakala PN juga mempunyai 13 kerusi menteri dengan 10 daripada Bersatu, dan PAS (tiga).

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai empat menteri, serta satu daripada Parti Bersatu Sabah (PBS). Untuk rekod, GPS sebelum ini telah bertindak keluar daripada BN, dan memberi sokongan kepada PN.

Sementara, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz adalah satu-satunya Menteri penuh yang tidak menyertai mana-mana parti politik dan dilantik sebagai Senator.

Bagaimanapun, sumber memberitahu Agenda Daily, Ismail Sabri tidak boleh mengetepikan beberapa individu lain bagi mengisi kerusi TPM, terutama dua pemimpin Bersatu – Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Nama kedua-duanya bukan baharu disebut bagi mengisi jawatan itu malah ianya tercetus sejak awal Ismail Sabri dilantik sebagai PM.

Namun, sumber itu berkata berbanding Azmin dan Hamzah, Hishammuddin dilihat lebih layak dalam banyak hal, khususnya untuk memperkukuhkan kedudukan Ismail Sabri di dalam UMNO.

Ismail Sabri sebagai Naib Presiden UMNO kini menerima tekanan daripada pimpinan utama parti itu, setelah dikatakan gagal mengikut beberapa ketetapan yang dibuat Majlis Tertinggi (MT), termasuk dalam isu penetapan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pengeluaran caruman one-off i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau juga dilihat hanya mempunyai sekurang-kurangnya tiga penyokong kuat di dalam MT iaitu seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; dan Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Walaupun Tan Sri Noh Omar dan Datuk Noraini Ahmad adalah ahli MT yang menduduki kerusi Kabinet, kedua-duanya adalah penyokong tegar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan, satu perbincangan antara Ismail Sabri dan Muhyiddin akan diadakan hari ini bagi menyediakan senarai baharu Kabinet, dengan Hishammuddin akan disokong menjadi TPM dan kekal sebagai Menteri Pertahanan, manakala Hamzah pula bakal diangkat sebagai Menteri Kanan Dalam Negeri.

Walaupun, tidak melantik MP Bersatu sebagai TPM, gabungan diterajui Muhyiddin akan kekal memberi sokongan kepada kerajaan Ismail Sabri untuk meneruskan pentadbiran negara membantu rakyat yang kini masih berdepan pelbagai bencana, termasuk pandemik Covid-19, serta banjir yang melanda baru-baru ini.

Sumber itu juga berkata, rombakan Kabinet yang akan dilakukan bukan disebabkan isu-isu yang timbul sejak kebelakangan ini, terutama yang melibatkan menteri dan banjir.

“PM tidak boleh melihat kecaman orang ramai terhadap menteri untuk melakukan rombakan. Beberapa menteri memang dikecam baru-baru ini. Tetapi jika itu menjadi alasan, Ismail Sabri perlu melihat diri dan keluarganya yang turut dikecam juga,” katanya.