Hilang di hutan sejak 18 Jun lalu, Prebet Muhammad Syafiq ditemui selamat

Hilang di hutan sejak 18 Jun lalu, Prebet Muhammad Syafiq ditemui selamat

Anggota Tentera Darat dari pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang dilaporkan hilang pada 18 Jun telah ditemui selamat pada jam 11.29 pagi tadi.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan berkata Prebet Syafiq telah ditemui oleh kumpulan Search and Rescue (SAR) selepas 17 hari operasi tersebut dilancarkan.

“Prebet Syafiq telah berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

“Beliau ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi. Beliau seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut,” kata TDM.

Sementara itu, penemuan Prebet Syafiq telah dikhabarkan kepada ahli keluarganya menerusi panggilan telefon. Mereka juga akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat dengan tanggungan perbelanjaan perjalanan sepenuhnya oleh pihak TDM.

Dalam kenyataan sama, pihak TDM juga menyampaikan penghargaan kepada kesemua agensi yang terlibat dalam operasi pencarian. Operasi ini disertai pelbagai pihak iaitu Kerajaan Sarawak, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta beberapa individu lain.

Selain itu, pihak TDM juga memberi penghargaan kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang turut memberi bantuan dan sokongan sepanjang operasi SAR berlangsung.

Bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan menambah baik Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada, pihak TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan.

Terdahulu, Prebet Syafiq yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu telah dilaporkan hilang ketika melaksanakan tugas dalam OP UKUR di Limbang Sarawak.