“Hentikan keganasan” – Insiden Faisal Halim raih perhatian Borussia Dortmund

“Hentikan keganasan” – Insiden Faisal Halim raih perhatian Borussia Dortmund

 

Insiden berkenaan pemain kebangsaan, Faisal Halim terus mendapat perhatian dunia dan pada kali ini, salah satu kelab bola sepak gergasi di Jerman, Borussia Dortmundmemberi sokongan terhadap pemain tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi, Dortmund meminta agar keganasan dalam bola sepak segera dihentikan sekaligus mendoakan agar pemain itu cepat sembuh.

“Faisal Halim adalah pemain sayap Selangor FC dan skuad utama Malaysia. Dia berjaya menjaringkan gol ke atas Korea Selatan baru-baru ini pada kempen Piala Asia 2023.

“Faisal juga berjaya menjaringkan 13 gol dan sembilan bantuan jaringan untuk membantu Selangor FC bergelar naib juara Liga Super musin lepas.

“Susulan serangan tersebut, Faisal telah ditempatkan di hospital dan kami seru agar keganasan dalam bola sepak dihentikan. Kami bersama Faisal Halim,” ujar kenyataan tersebut.

Pada waktu yang sama, Selangor FC turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan, malah tiada kata yang dapat menggambarkan betapa mereka menghargai sokongan kelab Jerman tersebut.

Faisal halim kena simbah asid

Sebelum ini, Faisal dilaporkan telah menjadi mangsa simbahan asid ketika sedang membeli-belah di salah satu Selangor.

Akibat kejadian tersebut, Faisal mengalami kelecuran tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk merawat kecederaannya.

Insiden yang menimpa Faisal turut memberi kesan mendalam kepada seluruh negara, terutama sekali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial.

Terdahulu, solidariti untuk Faisal Halim ditunjukkan oleh komuniti bola sepak antarabangsa. Persekutuan bola sepak dari Indonesia, Thailand, dan Singapura turut memuat naik hantaran istimewa untuk pemain kebanggaan negara ini.

Bukan itu sahaja, bekas pemain ragbi pasukan New Zealand, Sonny Bill Williams yang mengetahui tentang insiden berkenaan turut meninggalkan mesej buat Faisal Halim.