Henti promosi arak secara terbuka, kata Dewan Ulama Pas

Henti promosi arak secara terbuka, kata Dewan Ulama Pas

 

Dewan Ulama Pas berpendapat, sebarang promosi dan penjualan minuman arak secara terbuka perlu dihentikan kerana dikhuatiri memberi impak negatif kepada masyarakat khususnya anak muda.

Ketua Penerangannya, Mohd. Nor Hamzah berkata, mana-mana syarikat pengeluar minuman keras seharusnya mengambil kira aspek sensitiviti agama dalam mempromosikan produk walaupun Malaysia adalah sebuah negara majmuk.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan mengambil serius dan tindakan sewajarnya dalam hal ini sepertimana larangan Nabi Muhammad yang melaknat 10 golongan yang terlibat dalam aktiviti arak.

“Oleh itu, kami ingin mencadangkan beberapa langkah perlu dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu ini iaitu perlu melakukan semakan latar belakang syarikat dan mengambil langkah tegas menutup pengeluar minuman keras ini bagi mengelakkan rujukan kes (precedent) yang menyebabkan kemunculan pengeluar minuman keras yang baharu.

“Kerajaan juga perlu memastikan sebarang iklan dan promosi berkenaan minuman keras oleh mana-mana syarikat hendaklah dipantau mengikut garis panduan larangan mempromosi minuman keras dan alkohol seperti termaktub dalam Bahagian 3 Kod Kandungan mengenai Iklan Perenggan 8.5 (Iklan Khusus Lain), Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Malah juga perlu memperkemas pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya tidak berulang lagi selepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk iklan sejenis arak buatan tempatan diberi nama ‘Timah’ yang tular sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nor menambah, berdasarkan maklumat yang diperoleh, jenama arak itu telah didaftarkan melalui di bawah Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 6 Ogos 2019 apabila nama Timah dibuat sempena komiditi bijih timah yang pernah menjadi sumber pendapatan negara pada masa dahulu.

“Sejak kemunculan berita berkenaan minuman keras ini, ramai dalam kalangan warganet melontarkan kritikan dan kecaman kepada Pas selaku salah satu parti komponen dalam Kerajaan hari ini.

“Menurut sumber kerajaan yang telah memberi maklum balas dan menyatakan bahawa perusahaan mengeluarkan minuman keras memang sudah wujud di negara ini tetapi ia bukanlah dikeluarkan oleh kerajaan.

“Beliau juga menambah bahawa adalah tidak wajar bagi sesiapa mengaitkan perkara tersebut dengan kerajaan sekarang seperti yang tular di media sosial sekarang. Dalam hal ini, kami selaku Dewan Ulama Pas Pusat mengambil maklum terhadap kritikan warganet dan juga maklum balas dari pihak kerajaan,” katanya, menurut laporan Utusan.