Henti guna dawai kokot pada bungkusan makanan, peniaga ingkar boleh didenda & dipenjara

Henti guna dawai kokot pada bungkusan makanan, peniaga ingkar boleh didenda & dipenjara

 

Berkenaan isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial baru-baru ini, telah menarik perhatian serius oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sehubungan itu, peniaga atau pengendali makanan diingatkan untuk tidak menggunakan paku, dawai kokot atau seumpamanya pada pembungkus makanan kerana boleh menyebabkan kecederaan sekiranya ditelan.

Berdasarkan info grafik dikeluarkan Bernama semalam, ia menunjukkan tentang penggunaan dawai kokot atau dikenali juga sebagai ubat stapler pada bungkusan makanan perlu dihentikan.

Penggunaan dawai kokot, paku atau bahan berbahaya seumpamanya untuk membungkus makanan adalah menyalahi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Hukuman yang dikenakan

1. Hukuman kepada pengendali makanan yang melanggar larangan ini, boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

2. Selain itu, hukuman lebih berat menanti jika bahan itu ditemui dalam makanan iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Bahan bungkusan makanan yang selamat

Sebagai pengendali makanan, anda bertanggungjawab untuk memilih bahan pembungkus makanan yang:

  • Bukan toksik dan cukup kuat untuk menahan koyak atau bocor
  • Tidak menjejaskan keselamatan dan kesesuaian makanan
  • Mampu mengelakkan kerosakan pada makanan

Kesan tertelan dawai kokot 

dawai kokot

Kesan tertelan dawai kokot tidak boleh dipandang ringan. Hal ini kerana, ia boleh menyebabkan berlakunya kecederaan kepada anggota tubuh seperti:

1. Pendarahan gusi dan mungkin mencederakan saluran makanan.

2. Bahagian dawai kokot yang terbuka boleh memotong atau menyebabkan kecalaran di kawasan tekak meskipun tidak melekat di situ.

3. Mungkin terlekat dan memberi impak kepada tisu akibat infeksi atau nanah yang terkumpul.

4. Berasa sakit di tekak ketika menelan.

5. Menyebabkan batuk berterusan dan ada kalanya boleh berdarah.

Sekiranya anda mendapati bungkusan makanan yang dijual mempunyai bahan seperti dawai kokot dan seumpamanya, segera laporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.

Anda juga boleh membuat laporan melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)  atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

pembungkus makanan

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kepada pemberita, penyedia dan peniaga makanan diingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.

Berikutan sudah ada pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan membungkus makanan dengan baik, penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku.