Hasrat murni bantu rakan karib lemas berakhir tragedi, kedua-dua maut bersama

Hasrat murni bantu rakan karib lemas berakhir tragedi, kedua-dua maut bersama

 

Hasrat murni seorang lelaki menyelamatkan rakan karibnya yang hampir lemas ketika mandi di air terjun Batu Berangkai di sini hari ini, berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Muhammad Amirul Hafidz Ma’asor, 20, cuba menolong Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, selepas rakannya itu dilihat terkapai-kapai di tengah lubuk.

Abang sulung Muhammad Amirul Hafidz, Mohamad Khairul Nizam, 34, memberitahu, dia hairan apabila adiknya turut lemas kerana anak bongsu lima beradik itu mahir berenang.

Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa adiknya itu daripada bapa saudara mereka dan menyangka lelaki itu terbabit dalam nahas jalan raya.

“Saya fikirkan kemalangan biasa sebab dia datang ke sini dengan menunggang motosikal. Apabila polis beritahu yang adik saya meninggal dunia akibat lemas saya terkejut sebab dia pandai berenang.

“Mungkin kerana dia tahu dia boleh berenang, jadi dia beranikan diri selamatkan rakan baiknya sehingga mengorbankan nyawa sendiri,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kampar di sini hari ini.

Katanya, adiknya yang merupakan pelajar Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam itu sedang bercuti dan merancang mandi air terjun bersama rakannya di Lata Kinjang namun menukar lokasi ke Batu Berangkai selepas kawasan itu ditutup untuk penyelenggaraan.

“Amir dan Adam serta dua lagi rakan memang berkawan baik, sejak kecil lagi memang rapat sebab kami pun memang tinggal sekampung.

“Saya dan keluarga memang terkejut dengan apa yang terjadi namun terima ia sebagai takdir tambahan lagi adik pergi ketika menyelamatkan rakannya,” katanya yang memberitahu Amir akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru, Sabak Bernam.

Sementara itu, ibu Muhammad Fikri Adam, Nor Hadayah Imam Subawa, 45, berkata, tragedi itu menyebabkan dia kehilangan anak sulung daripada empat beradik yang merupakan tonggak keluarga.

Kata ibu tunggal itu, Adam merupakan anak yang baik dan ringan tulang serta sering membantunya dalam menyiapkan tempahan kuih kapit yang diusahakan mereka.

“Sebagai ibu tunggal, saya memang harapkan Adam, dia selalu tolong saya dan bantu tengokkan adik-adiknya. Dia harapan kami sekeluarga,” katanya.

Dalam kejadian itu, mayat Muhammad Fikri Adam dibawa naik ke tebing oleh orang awam manakala anggota bomba menjumpai mayat Muhammad Amirul Hafidz pada kedalaman tiga meter di tengah lubuk pada pukul 11.15 pagi.