Harumkan nama Malaysia, anak saudara Siti Nurhaliza menang pingat emas di WCOPA

Harumkan nama Malaysia, anak saudara Siti Nurhaliza menang pingat emas di WCOPA

 

Anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Umai berjaya meraih pingat emas menerusi kategori Junior Champion Vocalist 2024 di pertandingan antarabangsa World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Umai atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 13, berjaya menewaskan empat lagi finalis selepas mempertaruhkan lagu berjudul A Natural Woman nyanyian asal Aretha Franklin.

Detik kemenangan itu turut dikongsi Siti yang kagum dengan pencapaian Umai kerana sudah mengharumkan nama negara.

“Alhamdulillah, tahniah Umai berjaya bawa pulang pingat emas dan harumkan nama negara,” katanya.

Siti berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.

Sebelum itu, Siti dilihat teruja memuat naik video anak saudaranya itu membuat persembahan dengan baik.

Pada saringan pertama, Umai bersaing dalam lima kategori iaitu Kontemporari, Terbuka, R&B, World dan Variety sebelum berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir menerusi kategori R&B.

Umai kemudiannya mara ke peringkat akhir bagi kategori 13 hingga 15 tahun.