“Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik” – Yasin Sulaiman dipenjara seumur hidup, 16 sebatan
Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya sebelum ini.
Mendengar keputusan itu, riak wajah Yasin kelihatan sugul sementara ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 16 tahun, menangis ketika berada di galeri awam mahkamah.
Pelantun lagu Mimpi Laila nyata terkejut dan menyifatkan ia sebagai hari yang gelap selain berpendapat keputusan tersebut adalah sesuatu yang pelik.
“Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik. Apa yang saya tidak boleh terima kenapa saksi pakar tidak langsung diambil keterangan dan tidak dipakai (Mahkamah Tinggi).
“Itu sesuatu yang sangat pelik,” katanya.
Justeru, Yasin akan membuat rayuan dalam masa terdekat menerusi peguamnya di Mahkamah Rayuan.
Dalam pada itu, peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin memaklumkan akan memasukkan notis rayuan keputusan tersebut.
Beliau menegaskan, pihaknya percaya Yasin tetap tidak bersalah dan perlu menjalani rawatan yang diterimanya sekarang di hospital.
Pada 29 November 2023, Yasin menarik nafas lega selepas dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tida tuduhan kes dadah.
Bagaimanapun, dia ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.