Harga gula dicadang naik RM1, dijual RM3.85 sekilogram berbanding RM2.85

Harga gula dicadang naik RM1, dijual RM3.85 sekilogram berbanding RM2.85

 

Gula antara barang kawalan yang masih dijual pada harga mampu milik. Malah ia menjadi keperluan utama sebahagian rakyat Malaysia.

Dijual pada harga RM2.85 bagi sekilogram dan RM4.80 bagi harga gula premium, terkini MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mencadangkan agar harga gula peket sekilogram dinaikkan kepada RM3.85, kenaikan sebanyak RM1 berbanding harga jualan ditetapkan ketika ini iaitu RM2.85 sekilogram.

Memetik laporan Kosmo, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan kerana kos operasi telah meningkat atas pelbagai faktor global.

Menurut beliau, pihaknya juga kini sedang beroperasi dalam kerugian.

“Kita telah memberikan cadangan kepada kerajaan untuk menaikkan harga jualan gula peket sekilogram kepada RM3.85, berbanding RM2.85 sekilogram ketika ini.

“Langkah ini perlu dibuat kerana kos pengeluaran sudah tidak boleh dikawal atas beberapa faktor antaranya perang di Ukraine, perang di Timur Tengah dan juga kejatuhan nilai mata wang ringgit.

“Oleh itu kita perlu jual pada harga yang bersesuaian, kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak kerajaan berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena program lawatan media ke MSM Johor, di Pasir Gudang di sini hari ini.

Sementara itu, Hasni turut mengulas rancangan syarikat tersebut untuk mengeksport gula ke pasaran Singapura, tahun ini.

“Berkenaan eksport gula, pasaran serantau yang sedang kita berikan tumpuan adalah Singapura, kita jangka akan mula eksport sama ada suku pertama atau suku kedua tahun ini.

“Namun ingin ditegaskan, langkah mengeksport gula itu tidak akan menjejaskan bekalan gula di dalam pasaran tempatan. Tidak perlu bimbang kerana eksport gula tidak beri impak kepada pasaran tempatan, jangan risau,” ujarnya.