Harga barang naik: Selagi mana kita hidup, kita kena terima – Exco Perak

Harga barang naik: Selagi mana kita hidup, kita kena terima – Exco Perak

 

Exco Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Perak Razman Zakaria meminta rakyat negeri itu menerima hakikat tentang kenaikan harga barang saban hari.

Dalam sidang DUN Perak semalam, Razman (Pas-Gunung Semanggol) berkata selagi mana manusia ini hidup isu harga barang naik tidak akan selesai.

“Kita harus sedar perkara kenaikan harga ini tidak akan selesai selagi kita hidup. Oleh itu kita kena terima ‘fact’ (hakikat).

“Kita boleh mainkan isu harga barang macam kangkung boleh naik sampai 200 peratus,” katanya.

Beberapa ADUN antaranya Batu Kurau, Manjoi, Titi Serong dan ramai lagi membangkitkan soal kenaikan harga barang yang telah membebankan rakyat.

Sebelum ini, ADUN Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) membawa seekor ayam segar ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak.

Tindakan ADUN terbabit bagi menegur Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak supaya mengambil berat terhadap masalah kenaikan harga barang.

Ayam tersebut dibeli dari sebuah premis di kawasan DUN Gunung Semanggol bagi memperlihatkan harga yang tinggi iaitu sebelum 7 Disember lebih kurang RM10 sekilogram dan terkini berjumlah RM9.30 sekilogram berdasarkan harga kawalan musim perayaan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Selepas perbahasan itu, beliau menjelaskan isu harga ayam itu ditujukan kepada Razman kerana kenaikan harga barang berpunca di peringkat ladang.